Timbalan pengarah universiti direman 5 hari seleweng RM30,000

Seorang timbalan pengarah sebuah universiti awam direman lima hari bermula Khamis oleh Mahkamah Majistret Shah Alam.
Seorang timbalan pengarah sebuah universiti awam direman lima hari bermula Khamis oleh Mahkamah Majistret Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang timbalan pengarah sebuah universiti awam direman lima hari bermula Khamis oleh Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan kes menggunakan jawatan dan kedudukan untuk mengambil RM30,000 hasil keuntungan program konferensi antarabangsa anjuran institusi berkenaan, dua tahun lalu.

Majistret Nur Faizah Abdul Sani memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lelaki berusia 40-an yang dibawa ke mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna oren direman sehingga 6 Mac depan.

Menurut sumber, suspek ditahan di pejabat SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan pada jam 3.30 petang Rabu.

Katanya, suspek dikatakan telah membuat keputusan sendiri untuk memasukkan wang keuntungan tersebut ke dalam akaun bank peribadi miliknya pada Ogos 2021.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.