Noor Hariri tanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas

Noor Hariri
Noor Hariri
A
A
A

PASIR MAS - Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Nor sah bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas bagi penggal 2023-2026.

Pada pemilihan itu nanti Noor Hariri bakal ditentang penyandang kerusi berkenaan Datuk Ab Ghani Haron, Datuk Yahya Mamat dan Mohd Mustaman Che Yusof.

Beliau berkata, tujuan dirinya menawarkan diri adalah untuk memperkasakan semula UMNO Bahagian Pasir Mas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi selain Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Untuk pemilihan kali ini saya mengambil pendekatan bergerak solo dan tidak mempunyai rakit atau mana-mana kumpulan.

"Jika diberi mandat, saya bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan UMNO Pasir Mas kembali gah semula," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Menurut beliau, usaha memperkasakan parti itu akan bermula dari peringkat akar umbi termasuklah seluruh jentera UMNO.

Ujarnya, akar umbi dan jentera merupakan tunjang yang akan menentukan kemenangan parti setiap kali PRU.

Noor Hariri berkata, walaupun ada pemimpin yang bertindak meninggalkan parti namun ahli tidak berganjak malah mereka masih kekal setia.

"Sebab itulah, ahli di akar umbi dan jentera menjadi keutamaan saya dalam memperkasakan parti," katanya.