Mangsa banjir di Pahang pula meningkat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seramai 1,429 mangsa daripada 382 keluarga berada di 27 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di Pahang iaitu Rompin, Maran, Jerantut, Pekan dan Raub setakat jam 9.51 pagi pada Khamis.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 171 mangsa daripada 49 keluarga berada di empat PPS iaitu di Rompin dan Maran, sejak petang Rabu

Berdasarkan info banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Maran merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 648 orang dan di diikuti Rompin dengan 627 orang.

Jerantut dan Pekan, masing-masing merekodkan 94 dan 88 mangsa manakala Raub pula membabitkan 22 mangsa.

Sementara itu, menurut maklumat daripada public info banjir, setakat ini tiga sungai utama di negeri ini berada pada tahap bahaya iaitu Sungai Dong, Raub; Sungai Keratong di Jambatan Baharu Keratong dan Sungai Pukin di Rompin.

Dua sungai merekodkan paras amaran melibatkan Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut; dan Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis.

Lima sungai lagi berada pada paras waspada dengan empat daripadanya menunjukkan trend menaik iaitu Kuala Tahan, Jerantut; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera; Sungai Jempol di Rancangan Felda Jengka, Maran; dan Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut.

Sungai Maran di Bandar Maran, Maran yang berada pada paras waspada menunjukkan trend menurun.

Ikuti perkembangan terkini dan dapatkan info banjir di sini!