PN hantar 'peluru kapur' serang kerajaan negeri - MB Selangor

Amirudin ketika sidang media di bangunan Parlimen pada Rabu.
Amirudin ketika sidang media di bangunan Parlimen pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan laporan polis yang dibuat Perikatan Nasional (PN) terhadapnya seperti menyerang menggunakan 'peluru kapur'.

Ahli Parlimen Gombak itu menjelaskan, kedudukan beliau dan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim dalam syarikat Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB) hanya mewakili kerajaan negeri.

"Seperti yang dinyatakan syarikat LLB sebelum ini, kehadiran saya dan Izham bukan atas dasar peribadi. Ia adalah mewakili kerajaan negeri untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri dijamin dengan selesa.

“Oleh itu saya ucapkan tahniah kepada PN yang menghantar 'peluru kapur' untuk menyerang kerajaan negeri, boleh cuba lagi pada masa depan.

"Saya ingin tegaskan, kita mewakili kerajaan negeri. Saya mewakili kerajaan negeri untuk pastikan kepentingan kerajaan negeri tidak terganggu dan tidak terkurang," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, satu laporan polis dibuat oleh Ketua Penerangan PN Selangor, Mohd Shukor Mustaffa ekoran nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu berada dalam senarai antara pengarah syarikat LLB.

Tindakan itu dibuat susulan laporan LLB telah dianugerahkan mengurus projek Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley City di Kuala Lumpur sehingga ke Pelabuhan Klang yang dilapor menelan belanja sehingga RM700 juta.

Dalam pada itu Amirudin berkata, laporan polis itu dilihat sebagai tindakan untuk menyerang kerajaan negeri pimpinannya selain mahu menuduh terdapat kepentingan peribadi dalam isu berkait syarikat berkenaan.

“Tidak menjadi kesalahan (ahli lembaga syarikat) sebab ia anak syarikat kerajaan negeri dan (projek) dibiayai secara sendiri oleh LLB.

"Sebahagian kos itu, mereka (LLB) dapat ganjaran tidak perlu membayar premium melalui pembiayaan perbankan yang akan dibuat. Tidak timbul (soal) conflict of interest,” tegasnya.