Projek dalam, lebar Sungai Klang tidak libat wang kerajaan negeri

Kerja-kerja mendalam Sungai Klang telah dimulakan pada 1 November 2022 dengan tumpuan di kawasan-kawasan kritikal. - Foto Bernama (Gambar kecil: Syaiful Azmen)
Kerja-kerja mendalam Sungai Klang telah dimulakan pada 1 November 2022 dengan tumpuan di kawasan-kawasan kritikal. - Foto Bernama (Gambar kecil: Syaiful Azmen)
A
A
A

SHAH ALAM - Projek mendalam dan melebarkan Sungai Klang bagi menangani isu pencemaran dan banjir di Selangor, tidak melibatkan sebarang suntikan tunai daripada kerajaan negeri.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin berkata, projek membabitkan kos keseluruhan RM700 juta itu akan dibiayai melalui tanggungan premium tanah-tanah yang bakal dibangunkan berjumlah RM117 juta.

Menurutnya, pembiayaan juga diperoleh melalui tanggungan hutang RM54 juta dan selebihnya melalui penerokaan pembiayaan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI).

"Projek ini tidak melibatkan sebarang suntikan tunai daripada kerajaan negeri seperti yang didakwa.

"Kedudukan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim adalah mewakili kepentingan kerajaan negeri agar projek ini dapat dilaksanakan secara telus, teratur dan menepati matlamat ditetapkan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan bahawa RM700 juta dana kerajaan negeri telah diberikan secara rundingan terus kepada LLSB.

Syaiful Azmen berkata, LLSB adalah sebuah anak syarikat milikan penuh MBI yang telah dilantik oleh kerajaan negeri bagi merancang dan mengurus pelaksanaan projek membersih, memulihara dan membangunkan Sungai Klang.

Ujarnya, berikutan kejadian banjir besar yang berlaku pada Disember 2021, LLSB telah mengangkat satu kertas cadangan kepada kerajaan negeri berhubung projek pendalaman dan pelebaran Sungai Klang tersebut yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti Sungai Klang bagi menangani isu pencemaran dan banjir.

"Kerja mendalam dan pelebaran Sungai Klang sepanjang 56 kilometer untuk tempoh lima tahun itu akan dilaksanakan secara berperingkat.

"Pada ketika ini, kerja-kerja mendalam yang telah dimulakan pada 1 November 2022 dengan tumpuan di kawasan-kawasan kritikal iaitu di Kampung Bukit Lanchong sehingga ke Taman Sri Muda, Shah Alam dan juga di muara sungai dengan anggaran kos sebanyak RM249 juta, " katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!