Banjir: PPS pertama dibuka di Tampin

Pusat pemindahan sementara (PPS) pertama dibuka di daerah Tampin iaitu di Sekolah Agama Rakyat, Felda Jelai 4, Gemas pada Rabu. - Foto JKM
Pusat pemindahan sementara (PPS) pertama dibuka di daerah Tampin iaitu di Sekolah Agama Rakyat, Felda Jelai 4, Gemas pada Rabu. - Foto JKM
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Pusat pemindahan sementara (PPS) pertama dibuka di daerah Tampin iaitu di Sekolah Agama Rakyat, Felda Jelai 4, Gemas pada Rabu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, berdasarkan maklumat awal, terdapat dua keluarga telah dipindahkan ke PPS itu setakat jam 1.30 petang tadi.

"Ia berikutan paras air Sungai Muar dan Sungai Gemas yang berada berhampiran penempatan berkenaan mencatatkan peningkatan akibat hujan berterusan sejak petang semalam.

"Beberapa anggota keselamatan seperti pasukan bomba dan penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bergerak ke lokasi yang terjejas bagi memantau situasi terkini," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Pasca Mesyuarat Mingguan Exco di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Aminuddin turut mengingatkan kepada semua pihak supaya peka dengan keadaan cuaca ketika ini berikutan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk) di seluruh Negeri Sembilan.

"Hujan lebat tersebut dijangka berterusan sehingga esok dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh enam jam.

"Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memantau keadaan melalui pusat kawalan strategik Negeri Sembilan Command Center (NeSCOM) dan bersedia menggerakkan sebarang aset sekiranya terdapat keperluan.

"Justeru, penduduk kena akurlah kalau pihak berkuasa mengarahkan mereka berpindah ke tempat selamat, PPS sebab ini selalu terjadi. Air dah naik paras bumbung barulah bersedia nak berpindah dan waktu itu proses menyelamat sudah sukar," katanya.

Sementara itu, berdasarkan maklumat yang dikongsi Jabatan Penerangan Negeri Sembilan dalam Facebook rasminya memaklumkan terdapat beberapa kawasan sekitar Dewan Undangan (DUN) Gemas dan Gemencheh seperti kawasan pekan Gemas, Felda Jelai 4 dan Kampung Air Kuning telah dinaiki air.

Siren amaran awal banjir juga telah berbunyi di Kampung Air Kuning dan Felda Jelai.

Selain itu, terdapat beberapa kawasan di Gemas telah dinaiki air terutamanya di jalan besar Tampin-Gemas (hadapan jalan masuk Kem Syed Sirajuddin dan pasaraya TF Gemas).

Pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Tampin untuk meletak papan tanda penutupan jalan kepada kenderaan ringan.

....................................................................................................................

Lagi PPS dibuka

DUA Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mula dibuka di Negeri Sembilan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata, dua PPS itu melibatkan satu di daerah Tampin dan satu di daerah Jempol.

"Dua PPS itu merupakan Sekolah Agama Rakyat, Felda Jelai 4,Gemas yang menempatkan 29 orang mangsa daripada lapan keluarga.

"Satu lagi PPS di Sekolah Kebangsaan Felda Palong 7, Jempol menempatkan lima mangsa daripada dua keluarga dari Kampung Jeram Panjang. Setakat ini juga tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman Facebooknya mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan dikategorikan buruk dijangka melanda sehingga 2 Mac di Negeri Sembilan.

Amaran berkenaan dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka melanda dengan taburan melebihi 60 milimeter dalam tempoh enam jam.