Kereta bawa ketum terbakar, pemandu hilang

Kenderaan yang terbabas dan terbakar dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi Rabu.
Kenderaan yang terbabas dan terbakar dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi Rabu.
A
A
A

SIK - Pemandu sebuah kenderaan yang terlibat kemalangan di Jalan Kampung Tala di sini dipercayai melarikan diri meninggalkan bungkusan dipenuhi daun ketum berikutan kenderaan itu terbakar selepas terbabas, kira-kira jam 6 pagi Rabu.

Kejadian telah menyebabkan kegiatan pengedaran ketum terbongkar dan kenderaan terbabit disyaki digunakan untuk tujuan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan itu terbabas apabila sampai di selekoh dari arah Empangan Jajar ke arah Kampung Tala.

Menurutnya, akibat kemalangan, kereta terbabit terbakar namun api berjaya dipadam pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sik yang tiba selepas menerima panggilan kecemasan.

Anggota bomba memeriksa kenderaan yang terbakar yang dikatakan turut membawa daun ketum.
Anggota bomba memeriksa kenderaan yang terbakar yang dikatakan turut membawa daun ketum.

“Hasil pemeriksaan di bahagian ruang belakang kereta telah menjumpai beg plastik yang terbakar di mana di dalamnya berisi daun ketum.

“Siasatan polis turut mendapati pemandu kenderaan terbabit melarikan diri sebaik kebakaran berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdull Razak berkata, pihaknya menantikan laporan daripada Unit Forensik Bomba dan Polis bagi mengetahui punca kejadian.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis sedang mengesan pemilik kenderaan terbabit menerusi nombor pendaftaran.

Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1969 (Rule 10 LN 166/59.