Kerajaan boleh tumpu bantu B40, M40

Gambar hiasan - Foto fail/ ROSLI TALIB
Gambar hiasan - Foto fail/ ROSLI TALIB
A
A
A

KOS sara hidup yang tinggi ketika ini amat menekan rakyat terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan pertengahan, M40.

Bebanan yang ditanggung mereka pastinya lebih terasa apabila sesi persekolahan baharu akan dibuka pada bulan depan dan ketika itu juga umat Islam mula berpuasa sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan berikutnya.

Pada masa sama, kerajaan ketika ini pula menanggung hutang yang besar mencecah RM1.5 trilion termasuk liabiliti.

Jadi mahu atau tidak, kerajaan perlu bijak berbelanja bagi memastikan rakyat yang memerlukan dapat terus dibantu tetapi pada masa sama dapat mengurus hutang negara dengan baik.

Oleh itu, pendekatan subsidi bersasar untuk bahan api dilihat wajar dilaksanakan kerana kerajaan boleh memberi tumpuan untuk membantu B40 dan M40.

Menerusi inisiatif tersebut, kerajaan mampu peroleh penjimatan sehingga RM17 bilion sekiranya golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Selasa dilaporkan berkata, penggunaan ketiga-tiga bahan api itu dalam kumpulan B40 hanya sekitar 24 peratus manakala M40 sebanyak 41 peratus dan kumpulan T20 adalah 35 peratus pada 2022.

Malah, seperti yang kita tahu, selepas beberapa hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada November tahun lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan pandangan beliau bahawa pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar.

Beliau berkata, ia bagi demi memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan dapat menikmatinya kerana subsidi itu ketika ini turut dinikmati golongan kaya dan industri.

Bagaimanapun, pada 11 Februari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, kerajaan masih mengekalkan pelaksanaan subsidi sedia ada.

Kata beliau, ia demi kepentingan rakyat sehingga satu keputusan baharu dibuat antaranya subsidi bersasar.

Jadi sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan subsidi bersasar kerana penjimatan yang diperoleh juga dapat disalurkan lagi kepada kelompok B40 dan M40 menerusi mekanisme yang lain.