Yahya azam bawa pembaharuan

Yahya
Yahya
A
A
A

JOHOR BAHRU – Baru pertama kali bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar menetapkan azam untuk membawa pendekatan baharu kepada parti berkenaan.

Menurut Yahya yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian tersebut, UMNO sememangnya memerlukan perubahan dalam mengembalikan semula kepercayaan rakyat menerusi kaedah pendekatan baharu yang turut melibatkan golongan muda.

“Sebenarnya kita bawa harapan untuk UMNO mengubah pendekatannya...tak boleh lagi gunakan pendekatan yang lama.

“Kita kena bantu di peringkat akar umbi... lagipun YB Shahrir (Tan Sri Shahrir Samad) sudah 40 tahun terajui UMNO (Bahagian Johor Bahru), jadi dia buka ruang kepada mereka yang hendak bertanding.

“Apa pun, yang penting kita bertanding dalam suasana kekeluargaan, walaupun dah nak masuk 60 tahun, ini merupakan tempoh terakhir bagi saya untuk teruskan kelangsungan parti, kita perlu suara daripada akar umbi untuk bangkit semula,” katanya pada Selasa.

Pencalonannya itu bakal menyaksikan beliau berdepan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah bagi merebut jawagan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru.

Untuk rekod, Yahya yang mula menceburi politik sejak 1985 bermula sebagai Ketua UMNO Cawangan Padi Huma di Bandar Baru Uda sehinggalah ke jawatan terkininya selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru.

Mengulas pertembungannya dengan Mohd Hairi, Yahya berkata, ia menyifatkannya sebagai satu pertandingan yang sihat.

“Dia (Hairi) ada nama dan dia juga YB (wakil rakyat)...tapi dalam apa keadaan pun, saya bertanding secara sihat.

“Kalau dia rasa lebih layak, saya pun rasa saya lebih layak... yang penting kita sama-sama bertanding,” katanya.