Jangan ikut perangai 'samseng kampung' - Polis Kelantan

Muhamad Zaki - Foto Bernama
Muhamad Zaki - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan memberi penekanan agar rakyat di negeri ini tidak membudayakan perangai 'samseng kampung' termasuklah dalam kes melibatkan pergaduhan beramai-ramai dan mencederakan orang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menegaskan, pihaknya memberi isyarat jelas kepada kumpulan yang terlibat bahawa mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati terbabit melakukan kesalahan itu.

“Orang Kelantan dikenali dengan kelembutan, namun kalau berlaku sedikit perselisihan terus panggil geng hendak bergaduh. Ikatan setia yang tak betul.

“Mereka ini tidaklah sampai ke tahap kumpulan kongsi gelap, gengsterisme atau terlibat dengan baiah, sebaliknya samseng di kampung-kampung sahaja,” katanya kepada pemberita pemberita selepas Perhimpunan Bulanan bagi Februari peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.

Barisan polis yang hadir pada perhimpunan bulanan di IPK Kelantan pada Selasa. - Foto PDRM
Barisan polis yang hadir pada perhimpunan bulanan di IPK Kelantan pada Selasa. - Foto PDRM

Beliau mengulas demikian susulan rekod kes kekerasan jenayah yang didapati mencatat angka mencecah 60 kes dalam tempoh dua bulan pada tahun ini bermula 1 Januari sehingga Isnin.

Kes-kes melibatkan kesalahan mengikut Seksyen 323, 324, 325 dan 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan termasuk menggunakan senjata tajam atau tumpul seperti parang serta kayu.

Muhamad Zaki turut mengarahkan ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua polis daerah bertindak pantas sekiranya menerima maklumat berkaitan terutama membabitkan kecederaan mangsa.

“Kebiasaanya, pergaduhan berpunca daripada masalah keluarga sahaja manakala ada juga membabitkan hutang atau hubungan cinta mereka yang terlibat berusia antara 20-an hingga 40-an ini.

“Polis tidak akan berkompromi dan tidak mahu pergaduhan hingga mencederakan orang ini menjadi budaya dalam kalangan masyarakat,” tegasnya.