Pogba kembali berlatih

Pogba kembali jalani latihan selepas pulih daripada kecederaan. - Foto Agensi
Pogba kembali jalani latihan selepas pulih daripada kecederaan. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN tengah Juventus, Paul Pogba mungkin diturunkan beraksi menjelang perlawanan Serie A menentang Torino selepas sembuh daripada beberapa kecederaan.

Pengurusnya, Massimiliano Allegri sudah berbincang dengan pemain antarabangsa Perancis itu mengenai peluangnya untuk bermain.

Pogba menjalani pembedahan selepas cedera di bahagian meniscus September lepas sehingga dia terlepas saingan Piala Dunia Qatar bersama skuad kebangsaan.

Pogba membuat penampilan bersama Juventus musim ini selepas disenaraikan di bangku simpanan ketika mereka tumpas 0-2 kepada Monza 29 Januari lalu.

"Pogba akan disenaraikan menjelang aksi seteru setempat dan bakal diturunkan jika perlu. Dia tidak mempunyai banyak masa bermain kerana kecederaan kakinya.

"Dia mesti faham bahawa kami berada di peringkat penting musim ini. Dia mesti mempunyai dorongan untuk memberikan sumbangannya pada penghujung musim," ujar Allegri.

Jurulatih itu menambah penyerang, Federico Chiesa yang cedera musim ini, juga kembali dalam latihan biasa selepas terlepas beberapa perlawanan baru-baru ini.

"Chiesa berlatih bersama pasukan selepas enam hari melalui latihan ringan.

"Pogba juga boleh berada dalam kesebelasan utama selepas 315 hari menanti. Begitu juga Chiesa yang tidak bermain selama 10 bulan. Sedikit kesabaran diperlukan," kata Allegri.