Lebih 500 pesilat berkampung di bumi Sarawak

Abang Johari (kiri) menyempurnakan majlis perasmian Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak di Kuching malam Isnin.
Abang Johari (kiri) menyempurnakan majlis perasmian Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak di Kuching malam Isnin.
A
A
A

EDISI sulung Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 dibuka dengan penuh berprestij pada majlis perasmian pembukaan yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching malam Isnin.

Dalam ucapan perasmian, Premier Sarawak mengucapkan tahniah kepada Persatuan Rumpun Silat Sarawak (RSS) mempersiapkan perancangan bagi memastikan kejohanan berkelas antarabangsa dapat dijayakan sekali gus berjaya menyahut cabaran beliau untuk mengangkat martabat silat di Sarawak.

Beliau juga turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin kerana telah memberikan sokongan kepada Sarawak untuk menganjurkan kejuaraan silat berkelas dunia.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Presiden Rumpun Silat Sarawak, Muhammad Haneef Ali, di atas dedikasi dan kecekalan beliau dalam memelihara warisan, seni dan budaya silat di Sarawak.

"Tumpuan utama bukan sahaja memastikan warisan, seni dan budaya silat di Sarawak semakin kuat malah saya percaya di bawah pimpinan beliau, RSS akan melahirkan lebih ramai lagi pesilat yang akan mengharumkan nama Sarawak di pentas dunia,” katanya dalam ucapan perasmian.

Premier Sarawak juga menegaskan Sarawak akan kembali menjadi kuasa besar dalam menjulang warisan, seni dan budaya silat lebih-lebih lagi Sarawak berada dalam kedudukan strategik dalam kalangan negara rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Kita sangat berbangga untuk menerima kunjungan serta cabaran hampir 21 kontinjen dalam dan luar negara dengan anggaran hampir 500 pesilat bersedia untuk berkampung di Kuching.

"Sambutan yang amat baik terutamanya daripada negara luar seperti Amerika Syarikat, Belanda, Filipina dan Kygrystan akan menaikkan mutu sukan silat di Sarawak buat julung kalinya. Kita berharap untuk menjadikan Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak ini diadakan dua tahun sekali seiring dengan Kejohanan SUKMA dan Sukan SEA,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah juga menegaskan bahawa kejuaraan ini akan dijadikan sebagai medan di dalam mengangkat martabat warisan dan seni budaya silat di Sarawak.

“Bagi pihak kementerian, saya amat berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada RSS serta pihak penganjuran di atas keberanian dalam menyahut cabaran YAB Premier Sarawak merealisasikan sebuah kejohanan melibatkan pesilat dari negara luar.

“Harapan saya sudah tentu mengharapkan kem kontinjen silat Sarawak dan Malaysia untuk merangkul gelaran kejuaraan serta menyeru agar semua kontinjen yang terlibat bersaing secara sihat dan sama-sama meraikan warisan, seni dan budaya silat di bumi tercinta Sarawak,” katanya.

Turut hadir, Muhammad Haneef, Megat Zulkarnain dan Timbalan Presiden RSS, Datuk Mohamad Yusnar Matalie.

500 pesilat yang terdiri daripada 21 kontinjen dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Belanda, Filipina, Indonesia dan Kyrgystan akan berkampung bagi berentap merebut ganjaran lumayan sebanyak USD 20,000 serta tali pinggang kejuaraan yang pertama kali diperkenalkan bermula hari ini sehingga 5 Mac.

Bagi menambahkan lagi kemeriahan, pelbagai program menarik telah disediakan buat para pengunjung dan peminat sukan silat bagi menghangatkan penganjuran antaranya acara Pesta Makanan dan Festival Kebudayaan anjuran Majlis Seni Sarawak.