ChatGPT ancaman kepada kerjaya manusia?

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TEKNOLOGI dicipta adalah untuk memudahkan kehidupan kita. Pun demikian, sama ada sedar atau tidak, adakalanya inovasi baharu tak dapat lari daripada elemen destruktif.

Program menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), ChatGPT yang dilancarkan pada 30 November 2022 misalnya, telah mencetuskan pelbagai reaksi.

Apa itu ChatGPT? Ia merupakan program Chatbot yang akan membantu menjawab sebarang pertanyaan atau arahan pengguna dalam pelbagai bahasa.

Jawapan yang disalurkan seolah-olah ada 'manusia yang teramat pintar' atau profesor di belakang sedang menaipnya.

Bukan itu sahaja, tahap kecerdasan ChatGPT bukan setakat menulis artikel yang boleh membuatkan kerjaya wartawan nampak suram, ia juga berkemampuan mencatat kod sumber bagi mengambil kerja manusia sebagai pengatur cara.

Pada masa sama, pengguna juga boleh mengarahkan ChatGPT mengarang jenaka, teks ucapan, malah karangan pidato sekalipun.

Menurut laporan antarabangsa, ramai pelajar sekolah dan universiti luar negara menggunakan teknologi itu untuk mendapatkan informasi bagi menyiapkan tugasan mereka.

Jika dilihat jauh ke hadapan, ChatGPT tidak lebih daripada satu titik permulaan kepada banyak lagi teknologi AI yang bakal menyusul untuk mengambil alih pekerjaan yang dulunya dikendalikan manusia.

Terbaharu, Google memperkenalkan teknik perbualan baharu, Bard.

Sekarang ini pun sudah ada beberapa perisian AI lain yang dilihat boleh melumpuhkan penggiat seni dalam industri kreatif kerana keupayaannya menghasilkan lirik dan melodi, menghasilkan imej serta lukisan yang tampak asli.

Teknologi demi teknologi yang lahir kini secara tidak langsung menunjukkan kepada kita bahawa kerjaya profesional seperti peguam, jurutera, pensyarah, guru, waima wartawan semakin terancam kerana ia boleh digantikan dengan mesin teknologi.Namun, kita tidak pasti bilakah masanya? Mungkin lima, 10 tahun atau 50 tahun akan datang?

Persoalannya, perlukah lagi institusi pengajian tinggi untuk anak-anak kita meraih ilmu pada masa depan, kalau sudah ada teknologi yang mampu memberi lebih daripada itu?

Namun, bukankah teknologi-teknologi sebegitu boleh melenyapkan kemahiran dan menjadikan kita manusia yang malas berfikir?