'Ismail Sabri sudah capai kemuncak karier politik'

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menzahirkan penghargaan kepada Naib Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas khidmatnya susulan tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti akan datang.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Bera itu dibuat susulan telah mencapai kemuncak dalam karier politiknya selepas berkhidmat sebagai Perdana Menteri kesembilan.

“Saya kira beliau (Ismail Sabri) telah membuat keputusan besar bagi dirinya, (jadi) kita ucap terima kasih bagi segala khidmat beliau sebelum ini.

“Apabila beliau tidak mahu lagi bertanding naib presiden, beliau telah sampai ke puncak (dengan) apa yang dia mahu dalam perjuangan dan karier politik sebagai perdana menteri.

“Beliau kini bersama dengan bekas perdana menteri (lain) yang ada beberapa orang, terima kasih atas khidmat sebagai Naib Presiden dan PM (Perdana Menteri) kesembilan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, Ismail Sabri mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO melalui pemilihan bulan depan.

Dalam pada itu Ahmad turut mengulangi bahawa beliau tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden, namun memilih jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ketua UMNO Bahagian Pontian.

Beliau menegaskan, keputusan tersebut dibuat kerana tidak mahu memecahkan undi memandangkan Johor sudah mempunyai tiga calon bagi jawatan Naib Presiden UMNO.