Kerajaan Pahang lupus hutang 58 peserta RTP

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang melupuskan hutang 58 peserta Rancangan Tanah Pinggir (RTP) di negeri ini berjumlah RM32,790.

Keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) pada Isnin.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah itu diambil memandangkan kebanyakan peserta yang mempunyai hutang tertunggak tidak dapat dikesan.

Menurutnya, ia berlaku disebabkan ketiadaan alamat tempat tinggal yang lengkap, peserta berusia hampir satu abad dan ada yang telah meninggal dunia.

"Sebagai sebuah kerajaan negeri yang prihatin serta cakna terhadap nasib rakyat, keputusan itu diambil untuk kebaikan bersama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Wan Rosdy berkata, RTP mula dibuka pada tahun 1961 hingga 1967 oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang.

Beliau berkata, pembangunan RTP berasaskan kepada konsep pembukaan tanah secara berkelompok di bawah Akta GSA (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dengan tanaman getah.

"Sebanyak 131 RTP dibuka di seluruh Pahang kecuali Cameron Highlands.

"Setiap peserta terpilih ketika itu ditawarkan lot tanah seluas 2.83 hektar dan dikenakan bayaran balik antara RM3,000 hingga RM3,500 dengan tempoh bayaran selama 15 tahun," katanya.

Sehubungan itu, Wan Rosdy turut berharap perkembangan terbaharu diambil kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu tersebut dapat memberi kelegaan kepada peserta dan waris.