Gangguan air tak dapat dielak, atasi masalah pada Aidilfitri

No Image Caption
A
A
A

BANGI - Gangguan air di Lembah Klang pada 24 April ini tidak dapat dielakkan bagi memastikan tidak timbul masalah air pada bulan puasa dan Aidilfitri, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata pihaknya turut memberi jaminan bahawa bekalan air akan pulih dalam tempoh 48 jam.

Menurutnya, langkah penambahbaikan dan membaiki paip air sudah lama dirancang Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Kerja-kerja penambahbaikan merupakan kerja besar dan memerlukan masa yang lama. Jadi, kerana itulah kami meminta tempoh 48 jam," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli di sini hari ini.

SPAN pada Khamis lalu memaklumkan gangguan bekalan air sehingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April.

Gangguan bekalan air akan melibatkan 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar memulakan proses pengumpulan air bagi menampung kegunaan air pada tarikh berkenaan.

"Kita kena kurangkan pembaziran air. Ini adalah yang terbaik untuk jangka masa panjang bagi memastikan bekalan air mencukupi," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: