RM26.4 juta kerugian akibat jenayah komersial di Johor

KAMARUL ZAMAN
KAMARUL ZAMAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerugian membabitkan jenayah komersial di negeri ini merekodkan nilai sebanyak RM26.4 juta bagi tempoh Januari sehingga 26 Februari tahun ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah tersebut menunjukkan pengurangan sebanyak RM94.3 juta berbanding pada tahun lalu.

Beliau berkata, siasatan kes jenayah komersial membabitkan 707 kes di mana kes penipuan tertinggi iaitu 544 kes.

"Ia diikuti kes jenayah siber sebanyak 102 kes dan ah long sebanyak 32 kes.

"Bagi kes penipuan melibatkan belian dalam talian atau online sebanyak 108 kes dicatatkan diikuti kes tawaran kerja dalam talian sebanyak 101 kes dan Macau Scam 77 kes.

"Sekiranya sudah menjadi mangsa penipuan, orang ramai diminta menghubungi National Scam Response Centre (NRSC) di talian 997 sebagai tindakan awal menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek," katanya dalam kenyataan pada Isnin.