Selangor laung amaran awal

Pemain pasukan Selangor FC, Shahrul Nazeem Zulpakar (kiri) diasak tiga pemain pasukan Kelantan United dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini. - Foto Bernama
Pemain pasukan Selangor FC, Shahrul Nazeem Zulpakar (kiri) diasak tiga pemain pasukan Kelantan United dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

SELANGOR FC melaungkan amaran awal kehadiran pasukan berprofil tinggi itu dalam saingan Liga Super 2023 perlu diberikan perhatian setiap pasukan lain.

Pada perlawanan pertama musim ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu menjadikan Kelantan United mangsa awal apabila menjinakkan kelab pantai timur itu 1-0.

Babak pertama ibarat langit dan bumi status kedua-dua pasukan apabila The Red Giants lebih mendominasi permainan berbanding The Green Deers yang lebih banyak bertahan mengekang asakan jentera tuan rumah.

Selangor hampir mendahului melalui Ayron del Valle, namun hantaran minit ke-20 oleh Hein Htet Aung gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Ketumpulan penyudah kedua-dua pasukan akhirnya dinoktahkan tandukan kemas tonggak pertahanan Yazan Al-Arab minit ke-40 yang menyudahkan sepakan sudut Faisal Halim menjinakkan Ahmad Asyraaf Omar.

Babak kedua, skuad kendalian Tomas Trucha cuba membuktikan kehadiran Kelantan United bukan sekadar pelengkap liga dengan menghasilkan beberapa percubaan berbahaya, namun disekat penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Kedua-dua pasukan kemudian saling berbalas serangan namun ketumpulan di bahagian hadapan mengakibatkan tiada gol dihasilkan dan keputusan akhir kekal memihak tuan rumah.

Selangor akan berdepan Kuching City di Stadium Negeri, Kuching pada Khamis ini, manakala Kelantan United menanti kunjungan Perak FC di Kota Bharu pada Sabtu.