Perlu guna teknologi canggih atasi ketirisan subsidi - MOF

Ahmad (duduk, tengah) berbincang berhubung cadangan pembesaran Hospital Pontian pada Ahad.
Ahmad (duduk, tengah) berbincang berhubung cadangan pembesaran Hospital Pontian pada Ahad.
A
A
A

PONTIAN - [DIKEMAS KINI] Isu ketirisan subsidi yang menyebabkan negara kerugian berbilion memerlukan tindakan menyeluruh daripada beberapa kementerian selain penggunaan teknologi bagi menghalang penyeludupan, penipuan cukai jualan dan duti eksais.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kementeriannya sentiasa meneliti segala data berhubung ketirisan yang berlaku supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

"Saya kira beberapa kementerian turut terbabit dalam isu ketirisan diesel. Kementerian Kewangan (MOF) memang terbabit dalam banyak jawatankuasa bagi memastikan ketirisan dapat dikurangkan.

"Ketirisan yang terjadi ini tidak boleh dimaafkan. Antaranya menjual subsidi diesel, rokok haram tidak bercukai cecah RM5bilion," katanya selepas mengadakan tinjauan di Hospital Pontian pada Ahad.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan pihak yang terlibat terutama Kastam Diraja Malaysia perlu mengambil berat isu ketirisan ini.

"Kita perlu teknologi canggih untuk elak ketirisan terutama banteras kegiatan penyeludupan. Tidak semestinya tambah anggota penguatkuasaan," katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 dilaporkan berkata, wujud ketirisan dalam subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel diseleweng pada tahun lalu.