Isu pesakit tunggu lama di Hospital Bentong dibawa ke Parlimen

Young Syefura
Young Syefura
A
A
A

BENTONG - Isu pesakit di Hospital Bentong yang terpaksa menunggu lama sehingga ada yang pulang tanpa mendapat rawatan mendapat perhatian Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Young Syefura berkata, isu berkenaan telah dibangkitkan dalam ucapan perbahasan titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat.

"Saya ambil maklum mengenai keadaan di Hospital Bentong yang mana pesakit terpaksa menunggu lama sehingga ada yang pulang tanpa mendapatkan rawatan seperti yang disiarkan sebuah akhbar pada hari ini (Ahad).

"Saya telah membangkitkan perkara ini di dalam ucapan perbahasan titah Diraja dan telah mendapat respon daripada Menteri Kesihatan dalam ucapan penggulungan beliau," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujar beliau, KKM telah mengenal pasti aliran peningkatan kehadiran pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Tambah Young Syefura, satu faktor adalah kesan daripada pandemik Covid-19 iaitu kes-kes seperti penyakit tidak berjangkit (NCD) dan komplikasinya semakin hari semakin meningkat.

"Difahamkan walaupun pekerja kesihatan terutamanya doktor di Hospital Bentong telah bertambah, namun ia masih tidak mencukupi untuk memberikan perkhidmatan kepada pesakit yang hadir di hospital tersebut.

"Selain daripada itu, faktor waktu perkhidmatan klinik-klinik swasta yang tamat seawal jam 5 petang menjadikan pesakit tiada tempat lain untuk mendapatkan rawatan selain daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Bentong," jelas beliau.

Beliau juga memberitahu, melalui jawapan lisan Menteri Kesihatan pada waktu itu dimaklumkan bahawa KKM akan menambah sebanyak 1,500 jawatan baharu.

"Saya berharap agar kekurangan pekerja kesihatan di Hospital Bentong dapat diisi menerusi langkah tersebut.

"Saya juga akan memanjangkan isu pembinaan Hospital Bentong yang baharu di Chinta Manis ke perhatian KKM agar dapat dibina dengan segera supaya fasiliti kesihatan di Bentong ini lebih selesa dan kesesakan serta waktu menunggu dapat diselesaikan," ujar beliau.