Hajiji nafi ADUN sokong Gagasan Rakyat 'dibeli'

Hajiji beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Perasmian Duang Festival di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah di Kampung Lok Batik, Tuaran pada Ahad.
Hajiji beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Perasmian Duang Festival di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah di Kampung Lok Batik, Tuaran pada Ahad.
A
A
A

TUARAN - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Presiden Parti Warisan (Warisan) bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong beliau telah 'dibeli' atau diberi rasuah.

Sebaliknya, Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, tindakan bekas ADUN Warisan yang menyokongnya adalah atas kerelaan mereka sendiri.

"Saya tidak tahu (jika ada ramai ADUN akan sertai Gagasan Rakyat), terpulang pada mereka kalau mereka menerima kepimpinan saya dan menyokong saya. Saya ucapkan terima kasih banyak.

"Itu adalah atas kerelaan mereka sendiri. Kita juga menafikan sekeras-kerasnya tuduhan sesetengah pihak terutamanya Presiden Warisan yang mengatakan mereka dibeli atau diberi rasuah, itu tidak benar sama sekali.

"Boleh tanya kepada wakil-wakil rakyat yang menyeberang dan menyokong kerajaan sekarang. Mereka sokong kerana mereka fikir perlu menyokong kerajaan sekarang, mereka sokong kerana mereka fikir perlu kerajaan yang ada ini untuk kebaikan dan kepentingan negeri Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Duang Festival di Rumah Kebudayaan Rumpun Bajausama di Kampung Lok Batik pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika ada lebih ramai ADUN lain akan menyokong Gagasan Rakyat yang dipimpinnya ketika ini.

Ditanya sama ada Akta Anti Lompat akan dibentangkan, beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet untuk diputuskan nanti.

Bercakap mengenai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang menyatakan sokongan terhadap kerajaan yang dipimpinnya, beliau menyambut baik mengenai perkara itu.

"Baguslah dia (KDM) sokong, jadi tambah kuatlah (kerajaan)," katanya ringkas.

Pada Selasa lalu, lima ADUN UMNO yang keluar daripada parti bersama tiga lagi bekas ADUN Warisan mengumumkan untuk menyertai Gagasan Rakyat serta menyokong kepimpinan Hajiji.

Kesemua ADUN berkenaan ialah Datuk Dr Yusuf Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Hamild @ Hamid Awang (Balung) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) manakala tiga bekas ADUN Warisan ialah Mohammad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak).

Sementara itu, pada hari yang sama, Presiden KDM, Datuk Peter Anthony dalam sidang akhbarnya turut menyatakan untuk menyokong semula kerajaan pimpinan Hajiji.