Lima ADUN keluar UMNO sertai Gagasan Rakyat

Yusof mengetuai sidang akhbar di SICC menyatakan penyertaan mereka dalam Gagasan Rakyat pada Selasa.
Yusof mengetuai sidang akhbar di SICC menyatakan penyertaan mereka dalam Gagasan Rakyat pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO-Barisan Nasional (BN) keluar daripada parti dan mengambil keputusan untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Turut mengambil keputusan sama menyertai Gagasan Rakyat ialah tiga ADUN yang keluar daripada Parti Warisan (Warisan) pada 6 Februari lalu.

Perkara itu diumumkan oleh ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang mengetuai sidang akhbar yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.

Menurut beliau, kesemua ADUN berkenaan termasuk Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamid Awang (Balung) daripada UMNO-BN manakala tiga lagi bekas ADUN Warisan ialah Mohammad Mohamarin (Banggi), Azlinah Ariff (Kunak) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjung Kapor).

Katanya, beliau bersama rakan ADUN berkenaan telah memikirkan semasak-masaknya mengenai hala tuju politik di Sabah.

"Kami ADUN dan pemimpin pelbagai peringkat serta daripada pelbagai latar belakang pada hari ini mengisytiharkan membuat keputusan memberi sokongan sebulat suara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan yang beliau terajui.

"Memberi sokongan sebulat suara kepada Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Berpaksikan Perlembagaan Malaysia Perkara 10, Kebebasan Bersuara, Berhimpun dan Berpersatuan maka kami juga secara beramai-ramai yang berada di dalam dewan ini dan ramai lagi pengikut dan penyokong-penyokong yang berada di luar sana mengisytiharkan menyokong Kerajaan GRS dan menyertai Gagasan Rakyat," katanya.

Beliau berkata, sokongan itu adalah berdasarkan beberapa prinsip iaitu mentaati dan mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa memerlukan kestabilan politik dalam negara dan negeri.

Sebelum ini, dalam pergolakan politik yang melanda Sabah pada Januari lalu, lima ADUN UMNO-BN termasuk Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat) menyatakan sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah, manakala tiga ADUN Warisan sebelum ini mengumumkan keluar daripada Warisan dan menyatakan sokongan terhadap kerajaan yang dipimpin Hajiji.