MOTAC akan bertemu PM bincang tambahan peruntukan

Tiong King Sing. - Foto Bernama
Tiong King Sing. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan mengenai penambahan peruntukan bagi sektor pelancongan dalam Belanjawan 2023.

Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penambahan adalah bagi mempergiat usaha mempromosikan sektor pelancongan negara selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2025.

Beliau bagaimanapun berkata, perbincangan mengenainya akan mengambil kira hasrat Perdana Menteri untuk berjimat dari segi pemberian peruntukan serta situasi semasa negara susulan wabak Covid-19.

"Tahun ini kita dapat RM275 juta untuk (laksanakan) promosi pelancongan dan kebudayaan. Kita akan berbincang dengan Perdana Menteri, kita teliti lagi.

"Bagi peruntukan yang diberi kepada MOTAC, saya ucapkan terima kasih atas sokongan beliau. Kita bekerja bersama-sama dan menjayakannya," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan acara pelepasan peserta Larian Santai anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Rekreasi Wilayah Malaysia (PRWM) di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

King Sing berkata, sektor pelancongan antara tunjang utama dalam memacu usaha meningkatkan ekonomi negara sekali gus memberi manfaat kepada taraf kehidupan rakyat. - Bernama.