MB mahu penduduk tidak jual tanah di Pangkor

Ahmad Faizal ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Zambry ketika sesi soalan lisan pada Sidang DUN, hari ini.
Ahmad Faizal ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Zambry ketika sesi soalan lisan pada Sidang DUN, hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan memastikan penduduk di Pulau Pangkor yang mempunyai tanah di kawasan itu tidak menjual tanah-tanah mereka, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, pihaknya mahu penduduk yang memiliki tanah bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri dan swasta untuk memajukan kawasan tersebut sebagai pusat pelancongan utama di negeri ini.

Menurutnya, pada masa ini, kerajaan negeri sedang giat menyelaras gerak kerja berkaitan pulau bebas cukai Pangkor menerusi perancangan jangka masa pendek, jangka masa sederhana dan jangka masa panjang.

"Usaha-usaha akan terus dilipat gandakan melalui penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa kerja yang melibatkan kerjasama strategik antara pelbagai jabatan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

"Jawatankuasa-jawatankuasa kerja ini akan memberi tumpuan khusus kepada perkara-perkara yang perlu diberi perhatian segera seperti isu penyelarasan, isu keselamatan, projek-projek infrastruktur yang perlu diberi keutamaan dan sebagainya bagi merealisasikan sasaran pengoperasian PBC Pangkor mulai 1 Januari 2020," katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Teoh Yee Chern (Astaka-DAP), hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (Pangkor-BN), Ahmad Faizal berkata, item yang akan diberikan pengecualian cukai di Pulau Pangkor sekarang sedang diperincikan dengan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 22 Januari 2019 telah bersetuju dengan penetapan polisi pulau bebas cukai Pangkor termasuklah penetapan lokasi pintu masuk iaitu jeti di Pekan Pangkor sebagai Jeti Awam Pelancong dan jeti di Sungai Pinang Besar sebagai Jeti Kargo.

"Proses pewartaan Pulau Bebas Cukai Pangkor sedang dalam tindakan Kementerian Kewangan untuk meminda Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Akta Cukai Jualan 2018, Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan Akta Zon Bebas 1990 serta semua perundangan subsidiari yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri menyasarkan pulau bebas cukai Pangkor akan beroperasi mulai 1 Januari 2020. Bagi mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Negeri pada masa ini sedang menyelaras aspek-aspek pelaksanaan yang berkaitan termasuklah keperluan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan projek-projek keutamaan lain," katanya.

Menurut Ahmad Faizal, kerajaan negeri sedang memperincikan keperluan-keperluan teknikal bagi semua projek infrastruktur termasuklah pembinaan CIQ.