Mangsa tong gas meletup meninggal dunia

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Mangsa yang melecur hampir keseluruhan badan akibat letupan tong gas memasak meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP), pada petang Sabtu selepas dua hari bertarung nyawa.

Hafizan Sulaiman, 35, berkata, ibunya, Sarimah Abdul Rahman, 55, meninggal dunia di HPP pada jam 4.19 petang selepas ditidurkan sejak jam 10 malam pada hari kejadian.

Menurutnya, ketika dibawa ke HPP, ibunya masih sedar tetapi lemah, namun keadaan kesihatan ibunya semakin merosot sepanjang doktor merawatnya.

"Keadaan ibu ketika dibawa ke HPP memang sangat lemah tetapi dia masih sedar. Apabila keadaannya semakin lemah dan tahap kesihatan semakin merosot, doktor telah tidurkan ibu.

"Hari ini (Sabtu), saya dihubungi pihak hospital mengatakan ibu sangat kritikal. Setelah sampai di hospital, ibu sudah tiada," katanya sebak.

Anak tunggal mangsa itu berkata lagi, jenazah arwah ibunya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Jaya selepas solat Isyak.

"Arwah ibu merupakan ibu tunggal, dan saya agak terkilan dan sedih dengan kejadian ini, namun saya reda. Sebelum ini ibu tinggal dengan saya tetapi baru saja berpindah ke flat di Bayan Lepas kerana lebih dekat dengan tempat dia bekerja. Saya tinggal di Seberang Perai dan bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Bukit Minyak.

"Selepas arwah tinggal berasingan, selalunya saya akan jumpa dia seminggu sekali tetapi sejak sebulan lalu, dia seperti mengelak (untuk berjumpa). Ada saja alasan yang diberi, tiada cuti dan sibuk. Mungkin itu tanda ibu akan pergi buat selama-lamanya," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang wanita melecur hampir keseluruhan badannya selepas tong gas di rumahnya meletup dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, Khamis.

Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu mengalami melecur sehingga 60 peratus pada badannya akibat terkena letupan tersebut.

Mangsa yang tinggal bersendirian ketika kejadian telah dibawa ke HPP untuk rawatan lanjut.

Akibat letupan tersebut, beberapa bahagian rumah flat tersebut antaranya dapur dan bilik tidur rosak teruk.