Newcastle 'menjengkelkan' - Ten Hag

Ten Hag mahu United fokus kepada permainan berbanding melayan cubaan Newcastle yang mungkin cuba melambatkan permainan. - Foto EPA
Ten Hag mahu United fokus kepada permainan berbanding melayan cubaan Newcastle yang mungkin cuba melambatkan permainan. - Foto EPA
A
A
A

KELAB Manchester United sudah mula berasa 'rimas' menjelang perlawanan akhir Piala Liga menentang Newcastle di Stadium Wembley, London awal pagi Isnin.

Bos United, Erik ten Hag melabelkan Newcastle sebagai sebuah pasukan 'menjengkelkan' susulan skuad kendalian Eddie Howe mungkin akan menggunakan taktik membuang masa.

"Mereka pasukan yang menjengkelkan ketika beraksi. Jadi kami mesti mencari jalan untuk menang," katanya.

Pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Oktober lalu kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi di Old Trafford.

Jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp dan rakan sejawatnya di Arsenal, Mikel Arteta meluahkan kekecewaan taktikal diterapkan Newcastle.

Malah ten Hag juga menjangkakan aksi serupa di Wembley.

Bola hanya dimainkan secara purata 51 minit 47 saat daripada aksi Newcastle musim ini, paling rendah dalam kalangan kelab-kelab EPL.

Ten Hag sudah memberitahu anak buahnya untuk menyegerakan corak permainan sambil berharap pengadil, David Coote dapat menangani cubaan Newcastle melambatkan permainan.

"Mereka cuba mengganggu anda. Kami perlu pastikan bermain dengan cara sendiri dan fokus terhadap perlawanan.

"Jadi terpulang kepada kami untuk mempercepatkan permainan, tapi kami juga bergantung kepada tahap pengadilan," katanya.