Bergson lega JDT tewaskan TFC

Bergson - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Bergson - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

PENYERANG import Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva lega dengan kemenangan ke atas Terengganu FC (TFC), pada aksi Piala Sumbangsih 2023, biarpun berdepan tentangan sengit daripada skuad Penyu itu.

Menurutnya, tanpa beberapa pemain utama, kesebelasan TFC terutamanya di benteng pertahanan dilihat masih mampu memberikan ‘kesukaran’ buat jentera serangan JDT menghasilkan jaringan.

“Saya akui ia merupakan perlawanan yang agak sukar. Kami bermula dengan baik, tetapi mereka (TFC) juga bertahan dengan baik dan ia mengejutkan kami.

“Namun pada separuh masa kedua, corak permainan kami semakin baik dan akhirnya kami berjaya menewaskan mereka.

“Apa pun, ia masih merupakan perlawanan yang pertama musim ini dan masih banyak perlawanan yang lebih mencabar perlu kami harungi,” katanya sejurus tamat perlawanan pada Jumaat.

Aksi Piala Sumbangsih 2023 menyaksikan JDT menewaskan TFC 2-0 dan Bergson yang juga merupakan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu turut membantu kemenangan skuad Harimau Selatan itu dengan menjaringkan satu gol pada minit ke-57.

Sebelum itu, Bergson turut membantu seorang lagi pemain import, Juan Muniz Gallego menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-5.

Mengulas mengenai dirinya yang kini hangat diperkatakan media di Eropah susulan prestasi cemerlangnya membantu JDT musim lalu, Bergson berkata, perkara itu dilihat sebagai sesuatu positif sekali gus menjadikannya lebih bersemangat untuk memberikan aksi yang lebih baik bagi menjamin kejayaan skuad Harimau Selatan itu, musim ini.

“Bagi saya ia sesuatu yang baik, kini ramai orang mengenali saya dan lebih penting lagi mengenali JDT dan juga bola sepak Malaysia.

“Apa pun, saya akan terus berusaha memberikan yang terbaik dan meraih lebih banyak kejayaan bersama JDT musim ini,” katanya.