Tong air besar habis jual

Seorang pelanggan melihat tong air bersaiz kecil untuk persediaan gangguan bekalan air.
A
A

KUALA LUMPUR - Notis gangguan air di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor telah melariskan penjualan tong air di beberapa kedai.

Tinjauan Sinar Harian di dua kedai terletak di Bandar Baru Sentul di sini mendapati tong air bersaiz besar habis terjual.

Seorang pekerja memaklumkan, kedainya kehabisan stok tong air sejak semalam susulan ramai pelanggan membelinya untuk persediaan gangguan bekalan air bermula Rabu ini.

"Tong besar sudah habis yang tinggal hanya saiz kecil saja. Kami sudah membuat tempahan stok tapi mungkin sampai minggu depan," katanya.

Orang awam yang ditemui memaklumkan telah membuat persediaan awal menghadapi gangguan bekalan air itu.

Menurut Azli Abdul Mokti, 48, dia berharap kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) tidak mengambil masa sehingga tiga hari.

Azli Abdul Mokti
Azli Abdul Mokti

"Kalau gangguan hanya satu hari tangki air mungkin dapat menampung penggunaan isi rumah memandangkan kegunaan air juga terhad disebabkan anak-anak bersekolah.

"Saya akan beli air mineral untuk tampung keperluan dan jika masih tidak mencukupi terpaksa juga menginap di hotel berhampiran," katanya.

Sementara bagi Sharifah Nur Farahin Syed Mohd Aziz, 21 yang tinggal bersama ibu-bapanya berkata, keluarganya telah membuat persediaan awal membeli tong dan menadah air.

"Kami dah buat persediaan awal masa dapat tahu kawasan Sentul terlibat dengan gangguan air disebabkan tempohnya agak lama dari kebiasaan.

"Bagi menjimatkan air saya ambil peluang cuti hujung minggu saya untuk mendobi baju. Air mungkin cukup sebab kesemua kami bekerja namun sangat berharap tempoh gangguan dapat dipendekkan," katanya yang bekerja swasta.

Seorang pekerja swasta, Nurul Aflah Tarmidzi, 25 berkata, dia dan rakan-rakan baru berpeluang mencari tong air sebagai persiapan gangguan air.

"Dah tiga kedai saya pergi tapi semua tong air saiz besar sudah habis dan paling awal pekedai boleh menyediakan bekalan pada hari esok.

"Kami belum buat apa-apa persediaan kerana masing-masing ada urusan tapi kami kena dapatkan tong hari ini juga sebab esok masing-masing sudah bekerja," katanya.

Nurul Aflah (kanan) bersama rakan serumah melihat tong air yang terdapat di sebuah kedai di Bandar Baru Sentul, di sini.
Nurul Aflah (kanan) bersama rakan serumah melihat tong air yang terdapat di sebuah kedai di Bandar Baru Sentul, di sini.

Dia yang duduk di Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu berkata, gangguan bekalan air menyukarkan mereka yang duduk menyewa, seramai sepuluh orang dalam satu rumah.

"Masing-masing kena tadah air sendiri. Biasanya kalau tak ada air terlalu lama kami akan keluar awal untuk mandi di surau atau masjid berhampiran.

"Keadaan ini memang susah. Kalau di kampung bila tak ada air saya tak terasa sangat sebab ada sumber air sungai dan biasanya mak ayah yang selesaikan masalah itu tapi bila sudah duduk sendiri saya kena berdikari," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia