RM100 juta bagi Program Jualan Rahmah

Salahuddin ketika sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Salahuddin ketika sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperoleh peruntukan sebanyak RM100 juta bagi menjayakan Program Jualan Rahmah dalam Belanjawan 2023.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, peruntukan yang besar itu membolehkan kementerian melaksanakan jualan di kesemua 222 kawasan Parlimen bagi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

“Bagi memastikan rakyat terus mendapat pembelaan dalam menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup, program menstabilkan kos sara hidup rakyat diberikan tumpuan melalui Konsep Payung Rahmah, di antaranya Kempen Menu Rahmah, Bakul Rahmah dan Jualan Rahmah.

“Melalui program ini, rakyat akan dapat menikmati harga barangan asas sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya pada sidang akhbar selepas pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menurutnya, belanjawan kali ini menunjukkan Kerajaan Perpaduan turut prihatin terhadap nasib penduduk di luar bandar.

Ia dapat dilihat melalui peruntukan sebanyak RM225 juta yang diluluskan untuk KPDN meneruskan Program Pengedaran Barangan Perlu, LPG dan Community Drumming.

“KPDN akan melaksanakan pengedaran barangan keperluan asas kepada penduduk di 822 kawasan pendalaman di Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Kedah. Ini termasuklah 25 kawasan pengedaran baharu antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak; Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan dan Pahang.

“Program ini akan memberi manfaat kepada 1.28 juta penduduk luar bandar di enam negeri tersebut, di mana mereka dapat membeli tujuh barangan keperluan iaitu tepung gandum kegunaan am, gula putih bertapis kasar, minyak masak sawit tulen peket 1kilogram/botol satu liter, gas petroleum cecair (LPG) serta petrol RON95 dan diesel pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

“KPDN komited untuk memastikan subsidi yang diperuntukkan ini akan dinikmati oleh golongan yang layak serta melaksanakan penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan subsidi tersebut,” katanya.

Jelas beliau, pengumuman kerajaan untuk menggubal Akta Kredit Pengguna serta menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia perniagaan kredit juga dapat melindungi hak-hak pengguna dan perniagaan.

KPDN katanya, akan terus memastikan peruntukan yang telah dinyatakan dalam Belanjawan 2023 ini digunakan mengikut perancangan agar impak dan manfaat yang baik dapat dinikmati oleh rakyat.