Nilai pelaburan GLC, GLIC dianggar cecah RM50 bilion

KWSP akan melabur dalam syarikat-syarikat pemula tempatan yang inovatif dan berpertumbuhan tinggi.
KWSP akan melabur dalam syarikat-syarikat pemula tempatan yang inovatif dan berpertumbuhan tinggi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nilai pelaburan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dianggarkan mencecah RM50 bilion pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara tumpuan pelaburan termasuklah modal teroka dalam syarikat pemula berinovasi tinggi.

"Saya sempat menemui beberapa syarikat inovatif berpertumbuhan tinggi yang antaranya telah berjaya tersenarai di dalam Bursa Malaysia dan menembusi pasaran antarabangsa.

"Bagi mencontohi kejayaan ini, GLC antaranya Khazanah dan KWSP akan melabur dalam syarikat-syarikat pemula tempatan yang inovatif dan berpertumbuhan tinggi dengan nilai pelaburan RM1.5 bilion," katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambah beliau, kerajaan juga bercadang melanjutkan potongan cukai sehingga RM1.5 juta ke atas perbelanjaan penyenaraian di Pasaran ACE dan LEAP sehingga tahun taksiran 2025.

Katanya, potongan cukai cukai turut diperluas meliputi kos penyenaraian syarikat berasaskan teknologidi Pasaran Utama Bursa Malaysia.

"Agensi-agensi Kerajaan akan terus meningkatkan ruang modal serta menarik minat bakat tempatan dalam sektor berinovasi tinggi.

"RM40 juta disediakan di bawah Malaysia Coinvestment Fund (MyCIF) sebagai dana padanan yang menyokong kaedah pendanaan alternatif. Ini akan menjadikan ketersediaan dana terkumpul di bawah MyCIF berjumlah RM300 juta.

"Suruhanjaya Sekuriti juga akan memudahkan lebih banyak pasaran kedua bagi instrumen pasaran swasta untuk meningkatkan kecairan dan membolehkan penemuan harga yang lebih baik," katanya.

Ujar beliau, bagi menggalakkan penyenaraian syarikat teknologi berpertumbuhan tinggi tempatan, kerajaan akan membenarkan penerbitan saham dwikelas.