Bakal pendidik perlu bersedia dengan Industri 4.0

Azman (tengah) bersama peserta Seminar Penyelidikan Pendidikan 2019.
A
A

KUALA NERUS - Bakal pendidik perlu bersedia sepenuhnya sebelum menyahut cabaran fizikal, mental dan emosi dalam menggalas tanggungjawab mereka sebagai seorang pendidik kelak.

Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato Razali Ismail, Dr Azman Jusoh berkata, salah satunya ialah aktif meneroka ilmu pengetahuan dengan mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

"Mereka juga perlu peka dengan kemajuan teknologi yang relevan untuk diaplikasikan selaras dengan alaf Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0) ketika ini," katanya ditemui di IPG Kampus Dato Razali Ismail, di sini.

Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Penutup Seminar Penyelidikan Pendidikan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPG Kampus Dato Razali Ismail dengan jumlah penyertaan seramai 136 peserta.

Seminar yang bertemakan ‘Paradigma Alternatif Solusi Pendidikan Penyelidikan’ itu dilaksanakan di bawah kelolaan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan.

Seminar juga menjadi sebagai wadah dalam perkongsian dapatan kajian para pelajar PISMP bagi mencapai kegemilangan dalam pendidikan bertepatan dengan visi ‘ IPG Peneraju Kecemerlangan Pendidikan Guru’.

Di samping itu, Azman turut menyarankan agar bakal pendidik terbabit dapat melaksanakan seminar penyelidikan di peringkat lebih tinggi dan tidak hanya tertumpu dalam skop IPG semata-mata.