Empat calon bakal rebut jawatan Ketua Pemuda UMNO

Hasmuni (tengah) ketika sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Peringkat Negeri Kedah di Pejabat UMNO Negeri pada Jumaat.
Hasmuni (tengah) ketika sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Peringkat Negeri Kedah di Pejabat UMNO Negeri pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai empat calon setakat ini disahkan akan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan 2023-2026.

Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh, terdapat dua lagi calon yang telah menghantar borang.

Katanya, calon keempat dijangka menghantar borang pencalonan pada Jumaat petang.

"Sehingga kini tiga orang yang telah menghantar borang dan saya difahamkan bahawa hari ini (Jumaat) akan ada lagi seorang yang akan menghantar borang bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia," katanya ketika sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Peringkat Negeri Kedah di Pejabat UMNO Negeri di sini pada Jumaat.

Menurut Hasmuni, selain Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin, calon yang akan bertanding bagi jawatan berkenaan adalah Syed Rosli Syed Harman Jamalullail, Meor Hassan Mat Ali dan Datuk Arman Azhar yang akan menghantar borang pada Jumaat.

Beliau berkata, Pemuda UMNO mengalu-alukan seramai mungkin calon untuk mengisi tempat bagi jawatan tersebut.

"Ini merupakan proses demokrasi, apabila seseorang itu ahli UMNO, cukup syarat, mempunyai tempoh keahlian selama tiga tahun, maka dia layak menawarkan diri bagi jawatan yang dipertandingkan," katanya.

Hasmuni sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Pemuda bagi memberi laluan kepada Dr Muhamad Akmal yang difikirkan lebih layak untuk bertanding jawatan berkenaan.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, dia akan mengambil tanggungjawab untuk membuktikan bahawa Pemuda UMNO boleh mengembalikan kepercayaan rakyat dan akar umbi kepada UMNO.