RM70 juta untuk baik pulih jalan Persekutuan di Kuantan

Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran simpang Pasar Beserah antara jalan yang perlu dibaiki segera oleh JKR Kuantan. Gambar kecil: Andansura
Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran simpang Pasar Beserah antara jalan yang perlu dibaiki segera oleh JKR Kuantan. Gambar kecil: Andansura
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuantan telah menghantar permohonan peruntukan sebanyak RM70 juta kepada Kerajaan Pusat untuk pembaikan jalan-jalan Persekutuan dalam daerah ini.

Perkara itu dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah, Andansura Rabu selepas menerima surat daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu surat bertarikh 20 Februari lalu.

Beliau berkata, peruntukan itu merangkumi kerja-kerja berkala pavemen dan bukan pavemen melibatkan lebih 60 seksyen jalan Persekutuan.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan RM70 juta tersebut, sebanyak RM1.3 juta dikategorikan sebagai keperluan kecemasan yang diperlukan segera.

"Peruntukan RM1.3 juta itu perlu digunakan untuk membaiki jalan beberapa seksyen jalan antaranya Persimpangan Jabor - Jerangau; Persimpangan lampu isyarat Balok; Persimpangan lampu isyarat Semambu; Persimpangan lampu isyarat Bukit Rangin; Persimpangan lampu isyarat Pelabuhan dan Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran simpang Pasar Beserah.

"Manakala lain-lain jalan seperti seksyen lain di Jalan Kuantan-Kemaman, Jalan Bypass, Jalan Gambang dan jalan raya di gugusan Felda termasuk dalam senarai panjang lain yang dikemukakan oleh JKR Daerah Kuantan," katanya pada Jumaat.

Pada 21 Februari lalu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff memberitahu telah memohon peruntukan sebanyak RM400 juta bagi melakukan kerja-kerja menyelenggara dan membaik pulih kira-kira 3,000 kilometer jalan Persekutuan di negeri ini tahun ini.

Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, berharap agar penyaluran peruntukan itu dilakukan segera dalam tempoh terdekat.

Tambahnya, ini bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan sebelum musim perayaan bulan April nanti.

"Dalam apa pertimbangan sekali pun, keselamatan dan kepentingan awam perlu menjadi keutamaan," ujar beliau.

Sebelum itu, beliau mengucapkan terima kasih di atas perhatian dan maklum balas yang diterima daripada Alexander selepas surat itu dikemukakan pada 9 Februari lalu.

"Saya amat hargai kesediaan beliau (Alexander) kerana memberi keutamaan kepada permohonan pihak saya agar diusahakan peruntukan segera kepada JKR Daerah Kuantan untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih yang telah dikenal pasti," katanya.