Belanjawan 2023: Jangan tangguh lagi bina Hospital Maran

Tapak pembinaan Hospital Maran yang masih belum direalisasikan sehingga kini (Gambar dalam dari kiri : Mimi Syam,Juhari,Azizi)
Tapak pembinaan Hospital Maran yang masih belum direalisasikan sehingga kini (Gambar dalam dari kiri : Mimi Syam,Juhari,Azizi)
A
A
A

MARAN - Kemudahan hospital ditagih kira-kira 140,000 penduduk di daerah ini selepas projek bernilai RM350 juta tersebut masih tidak dilaksanakan selepas menunggu sekian lama.

Ia berikutan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang menegaskan bahawa Belanjawan 2023 diteliti semula dan tidak terikat dengan belanjawan yang lalu.

Projek tersebut telah diluluskan dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Sebelum itu, projek tersebut sudah diluluskan pada era bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi berdepan penangguhan ekoran pergolakan politik negara sejak 2018.

Seorang peniaga, Azizi Mohamed Soffie, 49, memberitahu, dia amat berharap projek tersebut segera direalisasikan kerana sudah sekian lama ditangguhkan.

"Jangan mainkan hati rakyat lagi, sudah beberapa kali majlis pecah tanah tapi tak buat lagi.

"Jadi saya berharap kerajaan Persekutuan mempertimbangkan projek ini demi kepentingan rakyat," kata dia lagi.

Bagi Mimy Syam Sumgit, 46, walaupun ada beberapa hospital seperti di Jengka dan Temerloh, ia tetap menyukarkan penduduk kerana jaraknya yang jauh.

"Sudah beberapa kali tukar tapak tapi hospitalnya masih belum ada hingga kini.

"Jadi saya berharap sangat projek ini mendapat perhatian serius dan disenaraikan dalam belanjawan kali ini," tambah penyelia pusat aktiviti warga emas di sini.

Seorang pengusaha pelancongan, Juhari Che Lah, 49, pula merayu supaya projek berkenaan diteruskan kerana ia telah diluluskan sebelum ini

"Ia bukan lagi isu pemimpin atau parti mana yang bawa projek ini...ia adalah untuk keperluan rakyat yang memerlukan khidmat kesihatan," tambah Juhari.

Lokasi terbaharu tapak pembinaan Hospital Maran di Kampung Batu 55, Jalan Kuala Sentul-Maran di sini.