Kadar cukai vape perlu munasabah - MRECA

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa untuk menggunakan pendekatan yang sewajarnya sekiranya mahu mengenakan pencukaian ke atas produk vape.

Presiden Malaysian Retail Electronic Cigarette Association (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas berkata, cukai yang dikenakan itu perlu masuk akal dan kadarnya tidak boleh terlalu tinggi.

Beliau berkata, sebagai contoh, cadangan RM1.20 setiap ml yang diumumkan sebelum ini adalah sangat tinggi dan meningkat 200 peratus.

"Ia akan menyaksikan tambahan RM36 dikenakan untuk setiap botol cecair 30ml manakala harga runcit untuk produk itu hanya pada separuh harganya. Ini juga bermakna, harga produk akan meningkat tiga kali ganda dalam harga.

“Ini akan menyebabkan produk vape menjadi sangat mahal dan mewujudkan permintaan untuk produk lebih murah yang tidak membayar cukai," kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong bahawa pencukaian ke atas produk vape boleh dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) selesai meneliti isu perundangan berkaitan bahan itu.

Pada Oktober 2021, Kementerian Kewangan semasa pembentangan Bajet 2022 mengumumkan kenaikan cukai bagi cecair vape sebanyak 200 peratus namun masih belum dilaksanakan sementara menunggu peraturan.

Selain itu, kata Adzwan, pencukaian yang terlalu tinggi juga akan menghalang perokok daripada bertukar kerana produk vape kerana ia telah menjadi lebih mahal daripada rokok.

“Kami menyokong langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengawal selia industri termasuk memperkenalkan rangka kerja pencukaian dalam industri. Kami melihat ini sebagai salah satu langkah awal untuk mengawal selia industri dan kami mengalu-alukannya," katanya.

Beliau berkata, MRECA mengesyorkan agar kerajaan mengekalkan cukai eksais bagi cecair vape pada RM0.40 per ml yang merupakan kadar sedia ada bagi mengelak daripada melihat kenaikan harga.

“Selain itu, MRECA juga menggesa kerajaan supaya segera memperkenalkan peraturan untuk industri. Rangka kerja percukaian mesti dilengkapi dengan peraturan yang wajar.

"Ia bukan sahaja akan memastikan produk memenuhi piawaian kualiti dan keselamatan, tetapi juga menyediakan hala tuju yang jelas kepada industri vape mengenai hala tuju ke hadapan,” katanya.