Terengganu perkenal pakaian mesra syariah atlet berbasikal

Wan Sukairi
Wan Sukairi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan memperkenalkan pakaian mesra syariah atau 'muslim friendly' bagi atlet berbasikal lelaki dan wanita di negeri itu melalui sebuah program yang akan dirasmikan pada Mac depan.

Exco Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, material pakaian yang bakal diperkenalkan itu memberi keselesaan kepada pemain iaitu merangkumi aspek sains sukan dan dalam masa sama mengetengahkan aspek syariah.

"Insya-ALLAH kita akan memperkenalkan pakaian mesra syariah untuk sukan berbasikal ketika kita merasmikan program Terengganu negeri kayuhan basikal pada Ramadan ini.

"Selain merasmikan trek berbasikal baharu dibina dari Kuala Ibai ke Telok Ketapang, kita juga akan memperkenalkan pakaian mesra syariah untuk lelaki dan perempuan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Wan Sukairi, pakaian mesra syariah dipilih sebagai pengenalan kepada pakaian yang lebih sopan dan selesa kepada atlet dan mereka yang bergiat aktif dalam bidang sukan tersebut.

"Mesra syariah ini boleh dikatakan hampir menepati kehendak syariah (patuh syariah).

"Kita tidak berikan nama patuh syariah kerana mungkin terdapat bahagian-bahagian pada pakaian yang belum mematuhi 100 peratus syariah Islam, namun ia adalah lebih baik berbanding pakaian yang tidak mesra syariah.

"Untuk melakukan perubahan secara menyeluruh Itu akan ambil masa. Jadi, target kita nak buat benda Ini supaya akan ada peningkatan dari mesra syariah akan jadi 100 peratus patuh syariah," jelas beliau.

Wan Sukairi berkata, beliau berharap supaya usaha yang dilakukan ini dapat memberikan perubahan positif dan diterima semua pihak.

"Saya harap supaya atlet tidak malu untuk lakukan perubahan menjurus kepada pemakaian patuh syariah sepenuhnya kerana ia secara tidak langsung akan memberi contoh, galakan dan dorongan kepada atlet-atlet di negeri lain.

"Kita kena biasakan yang betul dan menjadikan bakat itu lebih utama berbanding apa yang kita pakai. Kalau kita ada bakat, pakai pakaian bersesuaian dengan syariah pun boleh muncul sebagai juara," ujarnya.

Wan Sukairi memberitahu, garis panduan pakaian bagi atlet terutama beragama Islam sudah sedia ada dan dipraktikkan namun belum dibuat penguatkuasaan.

"Dalam tempoh sekarang pendekatan diambil ialah melalui pendidikan dan galakan. Namun begitu, pendekatan itu bukan untuk selamanya kerana akan sampai masanya nanti kita akan kuatkuasakan juga dari aspek tindakan.

"Setakat ini, atlet kita tiada berpakaian tidak sopan, cuma dari segi menutup aurat belum sepenuhnya lagi," katanya.

Beliau berkata, pendekatan bagi atlet bukan beragama Islam agak berbeza di mana mereka juga perlu mematuhi etika pemakaian sopan.

"Bagi atlet bukan Islam, kita guna pendekatan umum iaitu pakaian bersopan, tidak semestinya menutup aurat.

"Pakaian yang dipakai mestilah bersesuaian dan tidak mencolok mata. Ia sudah memadai bagi atlet bukan Islam," katanya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 1 Disember tahun lalu telah meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022 bagi memperkasakan pelaksanaan undang-undang syariah di negeri itu.

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, pindaan itu juga bertujuan menambah baik Enakmen Kesalahan Syariah Jenayah (Takzir) Terengganu 2001 yang merangkumi tambahan empat seksyen baharu dan 21 pindaan seksyen sedia ada.

Ia turut merangkumi tambahan peruntukan terhadap Seksyen 34 iaitu perbuatan atau berpakaian tidak sopan di tempat awam dan Seksyen 35 iaitu menjadi kesalahan terhadap mana-mana orang yang mendedahkan mana-mana bahagian tubuhnya yang pada pandangan umum menimbulkan ghairah di mana-mana tempat awam.

Jika disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.