Wartawan maut ditembak ketika buat liputan kes bunuh

Lokasi kejadian di mana seorang wartawan TV mati ditembak ketika membuat liputan insiden pembunuhan di Pine Hills, Orlando pada Rabu. -Twitter/ @DavePuglisiTV
Lokasi kejadian di mana seorang wartawan TV mati ditembak ketika membuat liputan insiden pembunuhan di Pine Hills, Orlando pada Rabu. -Twitter/ @DavePuglisiTV
A
A
A

WASHINGTON - Seorang wartawan televisyen tempatan dan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun maut ditembak di kawasan kejiranan Florida, berhampiran lokasi pembunuhan yang berlaku beberapa jam sebelum itu.

Suspek dipercayai kembali ke lokasi kejadian di kawasan kejiranan Pine Hills di Orlando pada Rabu.

Dalam kejadian itu, dua pengamal media dari Spectrum News 13 ditembak ketika membuat liputan mengenai pembunuhan seorang wanita di lokasi berkenaan.

Mereka dilaporkan berada di dalam van berhampiran lokasi pembunuhan awal sebelum didatangi suspek yang kemudian melepaskan tembakan.

Seorang daripada mereka dilaporkan kritikal sebelum meninggal dunia di hospital.

Suspek kemudian meluru ke sebuah rumah berhampiran dan menembak seorang wanita dan anak perempuannya berusia sembilan tahun.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia, manakala ibunya dalam keadaan kritikal.

"Kami mengucapkan takziah kepada semua keluarga mereka. Ini adalah hari yang menyedihkan bagi komuniti kami," kata Pejabat Sheriff di Twitter.

Suspek yang dikenal pasti sebagai Keith Melvin Moses berusia 19 tahun telah ditahan, lapor Agensi Anadolu memetik Pejabat Sheriff Orange County, Florida.

Motif di sebalik kejadian masih dalam siasatan. - Bernama