CSM diarah siasat ketirisan data 3 juta pengguna MySejahtera

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital telah mengarahkan Cyber Security Malaysia (CSM) menyiasat laporan yang mendedahkan maklumat pengguna aplikasi MySejahtera dimuat turun oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, tindakan selanjutnya akan diumumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selepas laporan siasatan CSM dilengkapkan.

"Berkenaan isu data MySejahtera seperti yang diperkatakan oleh Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (Pakatan Harapan), saya telah arahkan CSM melakukan siasatan berkenaan isu ketirisan data bagi aplikasi itu.

"Insya-ALLAH apabila laporan itu disiapkan, SKMM akan keluarkan kenyataan. Ini penting kerana saya percaya polis juga akan lakukan siasatan dan bagi agensi yang lain terpulang kepada pengumuman," katanya ketika sidang media di Dewan Rakyat pada Khamis.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 mendedahkan terdapat 1.12 juta cubaan memecah masuk aplikasi MySejahtera.

Sebanyak tiga juta maklumat pengguna aplikasi MySejahtera dilapor telah diakses secara mencurigakan daripada akaun 'Super Admin'.

Laporan itu juga menyatakan Minit Mesyuarat Keselamatan MySejahtera Bil 1 Tahun 2022 mengesahkan cubaan serangan siber dilakukan daripada nombor IP yang sama.

Susulan itu, pihak pembekal perkhidmatan bernombor pendaftaran 700674-U telah bertindak menyahaktif IP terbabit dan tahap keselamatan aplikasi dipertingkatkan dengan pemasangan Web Application Firewall (WAF) dan pemantauan berterusan oleh syarikat berkenaan.