Penjenayah letup mesin ATM, larikan wang RM349,000

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sembur cat pada kamera litar tertutup (CCTV) dan letup dua buah mesin pengeluaran automatik (ATM) antara taktik digunakan sekumpulan penjenayah sebelum melarikan wang tunai kira-kira RM349,000 dalam kejadian rompakan di sebuah bank di Setia Alam di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira jam 6.48 pagi.

"Pemeriksaan awal di lokasi mendapati dua buah mesin ATM dalam keadaan rosak teruk dipercayai telah diletupkan yang mana sebuah mesin ATM berjaya dibuka manakala sebuah lagi tidak berjaya dibuka oleh penjenayah.

"Siasatan awal dijalankan mendapati terdapat tiga individu dipercayai suspek terlibat dalam kejadian ini yang dilihat memasuki kawasan menempatkan ATM di bank tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, siasatan mendapati suspek terlibat menaiki sebuah kenderaan jenis Mitsubishi ASX berwarna putih.

"Pemeriksaan mendapati rakaman CCTV di bank tersebut kabur dan tidak jelas kerana suspek telah menggunakan semburan cat berwarna hitam.

"Unit Forensik, Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Post Balistic Investigation (PBI) turut dipanggil ke tempat kejadian untuk membuat flushing dan membantu siasatan," katanya.

Ujar Mohd Iqbal, pihak forensik menyatakan letupan dipercayai dihasilkan dengan cara tekanan gas.

"Tiada kesan kebakaran di tempat kejadian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Anggaran kerugian adalah berjumlah RM409,000 yang mana melibatkan wang tunai sebanyak RM349,000 manakala selebihnya melibatkan kerugian mesin ATM tersebut," katanya.

Tambah beliau, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan.

"Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai Penyiasat kes Asisten Superintenden Mohammad Khairi di talian 012-2666025," katanya.