Polis sahkan anggota tentera lepas tembakan kejar suspek

Salah seorang suspek membawa ketum yang ditahan selepas kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas di kawasan Durian Burung, di Padang Terap, pada Rabu.
Salah seorang suspek membawa ketum yang ditahan selepas kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas di kawasan Durian Burung, di Padang Terap, pada Rabu.
A
A
A

PADANG TERAP - Polis mengesahkan menerima laporan polis daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung insiden anggota tentera melepaskan tembakan ketika mengejar suspek disyaki penyeludup ketum di kawasan sempadan Malaysia-Thailand pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, anggota tentera yang membonceng motosikal melepaskan beberapa das tembakan itu selepas dihimpit kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand.

Menurutnya, kenderaan itu juga hampir melanggar kenderaan awam.

"Tembakan dilepaskan menyebabkan kenderaan itu terbabas.

“Sebelum itu, sepasukan anggota tentera yang membuat rondaan bertindak mengekori kenderaan yang keluar dari kawasan hutan dan dipandu dalam keadaan mencurigakan itu," katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.

Beliau memaklumkan, pasukan tentera mengarahkan kenderaan terbabit berhenti tetapi pemandunya terus memecut sehingga terpaksa dikejar.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua lelaki ditahan selepas cuba melarikan diri dengan sebuah pacuan empat roda di kawasan Durian Burung, di sini, pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari Rabu itu, daun ketum turut didapati bertaburan ketika kenderaan terbabit terbabas.

Akibat kemalangan itu, salah seorang suspek cedera di kaki dan seorang lagi luka di kepala sebelum dibawa ke Hospital Kuala Nerang (HKN) untuk rawatan.

Pemeriksaan dibuat oleh anggota tentera terhadap kenderaan pacuan empat roda itu menemukan beberapa lagi bungkusan disyaki berisi daun ketum dengan anggaran berat belum dipastikan.

Sementara itu, Mulkiaman berkata, tiada sebarang kejadian atau kecederaan ke atas orang awam yang berada di sekitar lokasi kejadian ketika insiden berlaku.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat dan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana kes masih dalam siasatan pihak polis.

Mulkiaman memaklumkan, kes disiasat di bawah kanun keseksaan dan Akta Racun 1952.