Kenderaan terbabas, dua lelaki bawa daun ketum ditahan

Daun ketum dipercayai dibawa suspek bertaburan selepas kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas di kawasan Durian Burung, di Padang Terap, pada Rabu. - Foto Ihsan Pembaca
Daun ketum dipercayai dibawa suspek bertaburan selepas kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas di kawasan Durian Burung, di Padang Terap, pada Rabu. - Foto Ihsan Pembaca
A
A
A

PADANG TERAP - Dua lelaki dipercayai membawa daun ketum ditahan selepas cuba melarikan diri dengan sebuah pacuan empat roda di kawasan Durian Burung, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand dalam kejadian jam 1 tengah hari.

Disebabkan itu, Mulkiaman memaklumkan, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang melakukan rondaan bermotosikal bertindak mengekori kenderaan suspek.

“Anggota ATM telah mengarahkan pemandu kenderaan terbabit untuk berhenti, bagaimanapun pemandu terus memecut.

"Anggota bertindak mengejar sebelum kenderaan itu cuba menghimpit motosikal anggota ATM dan hampir melanggar kenderaan awam menyebabkan pemandu pacuan empat roda itu hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata, daun ketum didapati bertaburan ketika kenderaan terbabit terbabas, manakala kedua-dua suspek warga tempatan itu cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan anggota ATM terlibat.

"Akibat kemalangan itu, salah seorang suspek mengalami cedera di kaki dan seorang lagi luka di kepala sebelum dibawa ke Hospital Kuala Nerang (HKN) untuk rawatan," katanya.

Menurut Mulkiaman, kedua-dua suspek kemudiannya ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Beliau memaklumkan, polis kini masih menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat lokasi daun ketum itu diperoleh dan tempat penghantarannya.