Ada golongan M40 kini sudah jatuh miskin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DALAM suasana kenaikan kos sara hidup terutamanya harga barangan dan perkhidmatan yang membebani rakyat, banyak pihak melihat golongan B40 paling tertekan dengan senario berkenaan.

Justeru, pelbagai jenis bantuan diperuntukkan kerajaan kepada golongan berkenaan seperti Bantuan Sara Hidup dan sebagainya.Namun, ramai yang tidak sedar sebenarnya ramai golongan M40 terutama yang tinggal di bandar-bandar besar kini sudah terjerumus ke dalam kelompok ‘miskin bandar’.

Bagi isi rumah M40 dengan pendapatan RM5,000 sehingga RM8,000 dan memiliki keluarga yang ramai, mereka semakin tersepit dengan perbelanjaan bulanan yang melambung.

Mana tidaknya, sewa rumah, harga barangan keperluan harian, belanja sekolah anak-anak, harga makanan, caj perkhidmatan dan sebagainya, semuanya naik. Jika dua atau tiga tahun lalu, golongan M40 masih mampu menguruskan perbelanjaan secara teratur dan masih mampu membuat tabungan, namun hari ini kebanyakan belanjawan mereka menjadi defisit.

Menurut Felo Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan (EMAS) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Muhammad Hisyam Mohamad, kesan pandemik Covid-19 menyaksikan lebih kurang 20 peratus isi rumah M40 jatuh ke dalam kategori B40.

Dengan pertambahan ahli keluarga namun jumlah pendapatan masih statik, golongan M40 juga kini ada yang menjalani kehidupan seperti golongan B40. Terpaksa berjimat cermat, potong perbelanjaan dan terpaksa berhenti menabung.

Setiap kali pembentangan Belanjawan dibuat oleh kerajaan, golongan M40 hanya mampu melihat dan mendengar sahaja kerana tak banyak yang mereka dapat nikmati secara langsung daripada pengumuman bajet.

Sampaikan ada yang bertanya, “Apa kita dapat setiap kali kerajaan umumkan bajet baharu? ”Cuma yang pasti, golongan M40 akan terus-menerus jadi pembayar cukai pendapatan.

Sebelum ini, fokus kerajaan lebih terarah kepada membantu golongan B40. Namun dengan keadaan persekitaran ekonomi semakin lelah, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kebajikan golongan M40 juga diberi perhatian.

Oleh itu, ramai golongan M40 berharap agar kerajaan dapat memberikan suatu berita gembira kepada mereka dalam pembentangan Bajet 2023 esok.