Kilang proses e-waste: Laporan polis, SPRM sudah dibuat

Andansura (kanan) menunjukkan laporan kepada SPRM bagi membolehkan agensi itu menyiasat kemungkinan terdapat salah laku dalam penguatkuasaan undang-undang di Pejabat SPRM Pahang pada Rabu.
Andansura (kanan) menunjukkan laporan kepada SPRM bagi membolehkan agensi itu menyiasat kemungkinan terdapat salah laku dalam penguatkuasaan undang-undang di Pejabat SPRM Pahang pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Dua laporan dibuat di atas tindakan berani pengusaha sebuah kilang melebur logam daripada sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Gebeng apabila masih meneruskan operasi tanpa lesen sejak Selasa lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berserah, Andansura Rabu berkata, laporan pertama dibuat di Balai Polis Gebeng manakala laporan kedua di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang pada Rabu.

Menurutnya, tindakan pengusaha kilang ini jelas melanggar pelbagai peraturan yang terpakai dan mengingkari arahan yang dikeluarkan selain mencabar kedaulatan undang-undang di negara ini.

"Kita minta pihak polis supaya menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan bagi menghentikan operasi kilang tersebut serta-merta.

"Siasatan juga perlu dibuat kemungkinan ada bahan sisa elektronik yang diproses dan disimpan oleh kilang ini, dibawa masuk daripada negara luar melalui muslihat dan tipu helah bagi mengelak dari penguatkuasaan undang-undang," katanya pada Rabu.

Beberapa keping gambar operasi kilang yang dirakam oleh orang awam pada Selasa turut dikemukakan kepada pihak polis dan SPRM ketika laporan itu dibuat.

Sebuah kilang melebur logam daripada sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Gebeng masih meneruskan operasi tanpa lesen sejak Selasa lalu selepas diarahkan tutup pada 14 Februari lalu.
Sebuah kilang melebur logam daripada sisa elektronik (e-waste) yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Gebeng masih meneruskan operasi tanpa lesen sejak Selasa lalu selepas diarahkan tutup pada 14 Februari lalu.

Difahamkan aduan berhubung pengoperasian semula kilang tersebut telah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar.

Mengulas mengenai laporan kepada SPRM, Andansura meminta agensi itu menyiasat kemungkinan berlaku sebarang salah laku oleh mana-mana pihak berhubung penguatkuasaan undang- undang yang berkaitan.

Tambahnya, siasatan perlu dijalankan bagi memberikan jaminan kepada masyarakat awam bahawa undang-undang sentiasa ditegakkan untuk melindungi kepentingan mereka.

"Setiap pelaku kesalahan yang memberi kesan kepada mereka akan berdepan dengan tindakan yang seadil dan sewajarnya," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung perkara terbabit.

Pada 14 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan kilang terbabit beroperasi secara haram di kawasan perindustrian Gebeng diarah tutup selepas diserbu pihak berkuasa.

Operasi kilang tersebut dibongkar JAS Pahang bersama pihak Majlis Bandaraya Kuantan pada 25 Januari lalu hasil aduan awam susulan berlaku pencemaran udara akibat asap tebal dan bau busuk daripada pembakaran terbuka yang dilakukan selama 24 jam.