Pengambilan pegawai perubatan tetap diperketat

Gambar dari kiri: Dr B Abirami, Dr Mohammad Firdaus, Dr Nurul Qashira
Gambar dari kiri: Dr B Abirami, Dr Mohammad Firdaus, Dr Nurul Qashira
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengambilan pegawai perubatan tetap di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijamin akan diperketatkan.

Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai perubatan siswazah, Dr Nurul Qashira Mohd Izlan selepas menghadiri sesi dialog Hartal Doktor Kontrak bersama Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pada Rabu.

Menurutnya, langkah tersebut bagi memastikan hanya pegawai perubatan yang benar-benar layak mengisi jawatan tersebut.

"Saya rasa ini bagus dan KKM sedang meneliti kriteria," katanya pada Rabu.

Menurutnya, Dr Zaliha turut menyatakan bahawa pemilihan pegawai perubatan ke jawatan itu perlu dilakukan secara telus.

"Selain itu, mereka juga memberi petunjuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengisi kekosongan jawatan tetap," katanya yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pegawai perubatan Hospital Shah Alam, Selangor, Dr B Abirami berkata, pelbagai isu melibatkan pelbagai bidang perubatan diutarakan di dalam sesi tersebut.

"Secara asasnya, jawapan yang diberikan adalah berdasarkan peruntukan Belanjawan 2023.

"Apa sahaja yang kita minta seperti doktor kontrak, fasiliti dan semuanya bergantung kepada Belanjawan 2023," katanya yang telah berkhidmat secara kontrak selama lima tahun.

Dalam pada itu, pegawai perubatan Hospital Melaka, Dr Mohammad Firdaus Omar berkata, antara yang turut dibincangkan adalah berkaitan isu buli dalam kalangan pegawai perubatan akan ditangani segera.

"Dr Zaliha menjelaskan ada isu yang boleh diselesaikan segera seperti buli dan ada isu yang memerlukan masa untuk diselesaikan," katanya.

Terdahulu, seramai 400 pegawai perubatan dan petugas kesihatan hadir pada sesi tersebut yang berlangsung lebih dua jam.

Sesi dialog itu dibuat selepas permintaan berulang kali daripada kumpulan Hartal Doktor Kontrak dan pergerakan penjagaan kesihatan lain untuk bertemu dengan Dr Zaliha bagi mendengar keluhan pekerja kesihatan.

Mereka terkilan dengan masalah yang menyelubungi sistem penjagaan kesihatan khususnya sistem kontrak dan tenaga kerja.

Bagaimanapun, media melaporkan Dr Zaliha menasihatkan pekerja dalam sektor kesihatan awam supaya tidak terlibat dalam sebarang mogok tanpa pemberitahuan kerana ia tidak menyelesaikan masalah.