Syed Saddiq tiba di mahkamah untuk bela diri

Syed Saddiq hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 9.18 pagi Rabu.
Syed Saddiq hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 9.18 pagi Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Tinggi di sini pada jam 9.18 pagi untuk memberi keterangan dalam prosiding hari pertama bela diri pada Rabu.

Syed Saddiq yang hadir dengan memakai sut biru gelap turut ditemani penyokongnya.

Turut hadir ialah ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Abdullah Alsagoff dan Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz.

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama bagi menjawab empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA), yang dikenakan terhadapnya.

Pasukan pendakwaan memaklumkan, mereka telah menerima pernyataan saksi pemimpin Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu, pada Sabtu lalu.

Selepas membaca dokumen itu, Syed Saddiq, 31, akan disoal oleh peguamnya dalam pemeriksaan utama disusuli pemeriksaan balas oleh pasukan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Mohd ‘Afif Ali, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Noor Syafina Mohd Radzuan dan Mohd Shahrom Idris.

Pembelaan bagi pihak Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, diwakili peguam Gobind Singh Deo, Datuk S Ambiga, Haijan Omar dan Lim Wei Jeit.