Pengeluaran KWSP: Kerajaan kena jaga kesejahteraan rakyat

Fuziah ketika program Wacana Sinar edisi 385 bertajuk ‘Bajet Anwar: Jangkaan vs Realiti’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Fuziah ketika program Wacana Sinar edisi 385 bertajuk ‘Bajet Anwar: Jangkaan vs Realiti’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan harus bersikap ‘kejam’ terhadap desakan segelintir rakyat berkenaan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) demi kesejahteraan rakyat di masa akan datang.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh menjelaskan, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rakyat mempunyai simpanan mencukupi selepas umur persaraan.

“Sebab itu PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) cakap kerajaan akan cuba cari jalan dan bertanggungjawab, kita fikir pasal rakyat (di masa hadapan), bukan tidak bagi ambil wang mereka.

“Macam ini, ‘you have to be cruel to be kind’ (perlu jadi kejam untuk kebaikan) seperti seorang ibu nak bagi anak makan ubat, tetapi anak menangis dan ibu rasa bersalah, namun kena ingat ini adalah ubat yang harus diberikan juga.

“Sebab itu saya cakap, susah untuk kerajaan jika benarkan (pengeluaran KWSP) kerana kita tahu mereka tiada lagi simpanan (masa depan). Apa akan jadi selepas mereka bersara kelak, sebab tiada (wang) pencen, tiada simpanan. Inilah tanggungjawab sosial kerajaan untuk memastikan rakyat ada perlindungan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Wacana Sinar edisi 385 bertajuk ‘Bajet Anwar: Jangkaan vs Realiti’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

(Dari kiri) Ismail, Fuziah dan Ahmed Razman ketika program Wacana Sinar edisi 385 bertajuk ‘Bajet Anwar: Jangkaan vs Realiti’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
(Dari kiri) Ismail, Fuziah dan Ahmed Razman ketika program Wacana Sinar edisi 385 bertajuk ‘Bajet Anwar: Jangkaan vs Realiti’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Turut diundang menjadi panelis adalah Penganalisis Ekonomi Putra Business, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff manakala Ismail Adnan bertindak sebagai hos.

Dalam pada itu Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, kerajaan memahami keluh kesah rakyat dalam mendepani isu kos sara hidup yang semakin meningkat, malah sentiasa berusaha mencari jalan lebih sesuai bagi mengurangkan beban rakyat.

“Kita faham apabila sesuatu keadaan itu susah bagi sesetengah keluarga (kerana) ada yang berhutang sampai terpaksa keluar rumah, hutang kereta tidak dibayar, ini memberi tekanan. Sebab tu mereka rasa KWSP hak mereka, tuntut pengeluaran.

“Saya faham keadaan ini tetapi sebagai pemimpin kerajaan pada hari ini, kita bertanggungjawab untuk memastkan simpanan masa tua mereka tidak diusik. Tanggungjawab kita cari jalan lain untuk bantu dan saya akui tidak mudah. Harapan kita kalau boleh diadakan lebih banyak sesi libat urus bagi selesaikan masalah ini.

“Kita cuba sedaya upaya dari segi (memperkenalkan) Menu Rahmah, ada Pakej Rahmah iaitu barangan satu set item yang berharga RM70 tetapi dijual RM50 dan sebagainya,” ujarnya.