LBS catat RM1.72 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2022

A
A
A

LIM HOCK SAN
LIM HOCK SAN

SHAH ALAM – Syarikat pemaju perumahan, LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan kewangan kukuh dan peningkatan hasil sebanyak 26 peratus iaitu RM1.72 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FYE2022).

Prestasi cemerlang itu berbeza dari pencapaian tahun sebelumnya iaitu RM1.37 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Pencapaian tertinggi yang diraih LBS itu sekali gus mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 17 peratus daripada RM114.92 juta kepada RM134.48 juta.

Meskipun berhadapan dengan cabaran global, ketidakstabilan geo-politikal, gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi, LBS mengekalkan prestasi yang positif ini daripada campuran produk LBS terutama segmen rumah mampu milik selaras dengan tiga matlamat syarikat iaitu mampu milik, kesinambungan dan komuniti.

Kejayaan membanggakan itu turut disokong oleh gabungan strategi pemasaran kreatif yang sihat dan berdaya saing.

LBS juga terus komited untuk menawarkan ganjaran dan manfaat menarik kepada pembeli rumah menerusi Kempen LBS Fabulous Extra dengan hadiah cabutan bertuah bernilai RM1.5 juta.

Dari segi pembangunan hartanah, Lembah Klang kekal sebagai salah satu faktor penyumbang pendapatan utama LBS iaitu melebihi 84 peratus daripada hasil Kumpulan bagi FYE2022.

No Image Caption

Kenaikan ini didorong oleh kadar pengambilan yang baik dan perkembangan kemajuan pembinaan yang stabil di beberapa projek utama LBS seperti di Bukit Jalil, LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth, dan projek Rumah Idaman MBI.

Bagi suku keempat tahun kewangan dalam tinjauan, LBS melaporkan hasil sebanyak RM372.76 juta manakala PAT dan keuntungan selepas cukai serta kepentingan bukan kawalan masing-masing adalah sebanyak RM28.33 juta dan RM25.65 juta.

LBS mempunyai 18 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM5.7 bilion dan bank tanah seluas 2,970 ekar. Jualan tidak dibil direkodkan sebanyak RM2.40 bilion dijangka memberikan pulangan positif kepada syarikat bagi tempoh dua ke tiga tahun ke hadapan.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, LBS sekali lagi melepasi jangkaan dan menutup tirai tahun 2022 dengan kukuh sekaligus meletakkan syarikat pada kedudukan yang stabil bagi tahun 2023.

“Suatu penghormatan bagi LBS kerana berpeluang untuk menyaksikan pemulihan pasaran hartanah, dan kami menjangkakan keyakinan pasaran akan bertambah baik pada tahun 2023. LBS turut menyasarkan 12 buah projek baharu dengan nilai GDV sebanyak RM2.09 bilion pada suku akan datang.

“Prestasi kewangan LBS dilihat kekal berdaya tahan seperti peningkatan pendapatan pada tahun 2022. LBS berjaya melepasi sasaran jualan 2022 sebanyak 25 peratus, iaitu dari sasaran awal RM1.6 bilion kepada RM2.0 bilion.

“Ini merupakan bukti kepercayaan dan keyakinan pembeli rumah kami menerusi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan,”katanya.

Menurutnya, LBS akan terus meningkatkan kecekapan operasi bagi menambah baik margin keuntungan seiring dengan kemampanan perniagaan untuk jangka masa panjang.

“LBS akan memberi fokus kepada prinsip ESG untuk nilai jangka panjang bagi memacu pertumbuhannya dalam pasaran hartanah.”katanya.