AEON BiG taja skuad, diskaun kepada penyokong Gergasi Merah

Sheikh Farouk (kiri) dan Johan Kamal pada Majlis Tandatangan Kerjasama Strategik antara AEON BiG dan Selangor FC yang berlangsung di AEON BIG Wangsa Maju pada Selasa. - FOTO RAFEQ REDZUAN
Sheikh Farouk (kiri) dan Johan Kamal pada Majlis Tandatangan Kerjasama Strategik antara AEON BiG dan Selangor FC yang berlangsung di AEON BIG Wangsa Maju pada Selasa. - FOTO RAFEQ REDZUAN
A
A
A

AEON BiG Sdn Bhd (AEON BiG) mengumumkan kerjasama terbaharu dengan Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) bagi tempoh saingan Liga Malaysia musim 2023.

Pengarah Urusannya, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, kerjasama itu melibatkan penyediaan barangan keperluan kepada skuad Gergasi Merah serta kolaborasi kad keahlian Red Giants Team (RGTC) khusus kepada penyokong pasukan berkenaan.

“Kebanyakan pelanggan kami adalah peminat Selangor FC dan faktor ini membuatkan AEON BiG mengambil peluang untuk bersama dalam mengembangkan perniagaan ke seluruh Lembah Klang.

“Pemegang kad RGTC berpeluang untuk mendapatkan diskaun sebanyak lima peratus apabila membeli-belah di mana-mana cawangan AEON BiG pada setiap 15 dan 30 haribulan sepanjang musim bola sepak 2023.

“Kami mempunyai 14 cawangan pasar raya di seluruh Lembah Klang dan saya pasti manfaat ini dapat dinikmati oleh semua penyokong Gergasi Merah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Tandatangan Kerjasama Strategik antara AEON BiG dan Selangor FC pada Selasa.

Dalam pada itu Sheikh Farouk memaklumkan, pemegang kad RGTC boleh menikmati faedah keahlian menerusi pembelian di pasar raya berkenaan selain gunakannya sebagai ‘Gift Card’ AEON BiG.

"Selaras dengan perkataan AEON yang bermaksud keabadian dalam bahasa Latin, kami amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah untuk tahun ini.

"Selangor FC merupakan antara sebuah pasukan yang sentiasa mengadakan kerjasama bersama pelbagai jenama dan kami lihat mereka mampu menjaga jalinan ini dengan baik,” ujarnya.

Sheikh Farouk (kiri) dan Johan Kamal bergambar selepas Majlis Tandatangan Kerjasama Strategik antara AEON BiG dan Selangor FC pada Selasa.
Sheikh Farouk (kiri) dan Johan Kamal bergambar selepas Majlis Tandatangan Kerjasama Strategik antara AEON BiG dan Selangor FC pada Selasa.

Sementara itu Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon melihat kerjasama tersebut mampu memberi impak lebih baik dan berkesan kepada kedua-dua entiti.

"Kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan AEON BiG sebagai ahli keluarga baharu Gergasi Merah sekali gus membuktikan industri bola sepak tempatan khususnya Selangor FC masih dipandang tinggi dan dipercayai oleh syarikat terkemuka untuk melabur selain berkongsi kepakaran antara satu sama lain.

“Kerjasama ini diharapkan dapat membantu syarikat ini mengambangkan perniagaan mereka ke seluruh negara selain dapat membuka lebih banyak mata syarikat lain di Malaysia khususnya di Selangor untuk turut menjadi rakan rasmi Selangor FC,” ujarnya.

Perkongsian tersebut juga menyaksikan penjenamaan AEON BiG dipaparkan di stadium pada hari perlawanan serta aset digital Selangor FC musim ini.