KBS galak bekas atlet sertai kursus kejurulatihan

Adam Adli ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
Adam Adli ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menggalakkan bekas atlet kebangsaan menghadiri kursus kejurulatihan yang ditawarkan melalui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) Institut Sukan Negara (ISN) bagi membolehkan mereka ditauliah sebagai jurulatih berlesen.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata, pada masa ini ISN ada menawarkan Program Pendidikan Sains Kejurulatihan secara berstruktur.

"Dalam konteks ini ISN mengambil inisiatif untuk bekerjasama rapat dengan pihak Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bagi tujuan menganjurkan kursus sains sukan kepada bekas atlet kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai bantuan serta sokongan yang dapat diberikan kepada akademi sukan dan permainan yang dikendalikan bekas pemain negara, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Adam Adli berkata, sejak kursus itu dimulakan pada 2017, seramai 135 bekas atlet kebangsaan telah menduduki kursus sains sukan tahap satu anjuran AKK. - Bernama