Mayat mangsa lemas di Pantai Teluk Chempedak ditemui

Anggota pasukan penyelamat mengangkat mayat yang ditemui orang awam di lokasi kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan lemas.
Anggota pasukan penyelamat mengangkat mayat yang ditemui orang awam di lokasi kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan lemas.
A
A
A

KUANTAN - Pekerja sebuah kedai serbaneka yang hilang selepas dibawa arus ketika mandi di berbatu di Teluk Tongkang, Pantai Teluk Chempedak di sini telah ditemui mati lemas pada Selasa.

Mayat Muhammad Ikmal Hakim Ahmad, 20, dari Galing di sini ditemui kira-kira jam 3 petang dalam keadaan terdampar di kawasan pantai belakang Tembeling Resort kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, susulan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan.

Dalam kejadian pada tengah hari Isnin, mangsa bersama dua rakan dihanyutkan arus ketika cuba berenang untuk kembali ke pantai dalam keadaan air pasang berarus deras.

Sebelum kejadian, mereka bertiga dikatakan pergi ke kawasan berbatu kira-kira 100 meter dari pantai Teluk Tongkang ketika air surut untuk mandi- manda.

Semasa mereka leka mandi, air laut pasang dan laluan untuk balik ke pantai mula berarus deras dan ombak tinggi.

Ketiga-tiga mangsa cuba berenang ke pantai namun Muhammad Ikmal Hakim dihanyutkan arus sebelum hilang.

Dua rakan mangsa yang selamat melaporkan kejadian melalui talian 999 untuk mendapatkan bantuan sebelum operasi SAR digerakkan bermula jam 4 petang pada Isnin.